PESAWAT MAS yang disewa untuk membawa penumpang di LTAL. FOTO ihsan Rayani Air
PESAWAT MAS yang disewa untuk membawa penumpang di LTAL. FOTO ihsan Rayani Air
Rizanizam Abdul Hamid


Kuala Lumpur: Syarikat penerbangan Rayani Air menanggung kos sebanyak RM72,000 untuk menyewa pesawat MAS bagi membawa 250 penumpangnya yang terkandas di klia2 dan Lapangan Terbang Antarabangsa Langkawi (LTAL), berikutan pembatalan penerbangannya, semalam.

Ketua Pegawai Eksekutif Rayani Air, Ravi Alagendrran berkata, pesawat MAS jenis 737-800 itu disewa bagi perjalanan Kuala Lumpur-Langkawi-Kuala Lumpur selepas mendapat kebenaran Jabatan Penerbangan Awam (DCA) dan berlepas membawa 100 penumpang dari klia2, 9.30 malam tadi.

"Kami memohon maaf kepada penumpang kerana MAS hanya mempunyai jadual penerbangan pada 9.30 malam tambahan pula ia membabitkan beberapa prosedur yang perlu dipatuhi untuk mendapatkan pesawat lain menggantikan pesawat kami yang pecah cermin pada ruang kokpit.

"Kami berterima kasih kepada MAS kerana sanggup menyediakan penerbangan mereka kepada 250 penumpang Rayani Air termasuk 150 penumpang dari Langkawi ke klia2 malam tadi," katanya ketika dihubungi Harian Metro di sini hari ini.

Media sebelum ini melaporkan penerbangan Rayani Air RN180 menggunakan pesawat Boeing 737-400 itu terpaksa dibatalkan berikutan pesawat mengalami masalah teknikal.

Semalam, syarikat penerbangan itu dalam kenyataan berkata, masalah teknikal berpunca disebabkan cermin kokpit pecah sehingga mereka terpaksa membatalkan dua penerbangan dari Langkawi.

Tindakan itu menyebabkan lebih 200 penumpangnya terkandas di LTAL, berikutan pembatalan penerbangan ke Kuala Lumpur pada 11.20 pagi dan 6.20 petang.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 10 Februari 2016 @ 11:40 AM
Digital NSTP Subscribe