Kevin (tiga dari kiri) bersama pengasas Asiana.my, Kamarul Akhir, Ketua Pegawai Eksekutif Persatuan Pemain Bola Sepak Profesional Malaysia (PFAM), Izham Ismail (dua dari kiri) Presiden Persatuan Jurulatih Bolasepak Malaysia (PJBM), B Sathianathan, Timbalan Presiden PFAM, Rezal Zambery Yahya dan Pengarah MVP Sports Agency Hafizan Halim selepas melancarkan anugerah pemain terbaik bulanan "Player of The Month" di Hotel Saujana Subang. Foto NSTP/OSMAN ADNAN

Petaling Jaya: Tiga pasukan Liga Malaysia (Liga M) - Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Kelantan dan Felda United diberi tempoh tiga bulan untuk menyelesaikan gaji tertunggak bekas pemain mereka.

Kegagalan berbuat demikian menyebabkan mereka berdepan tindakan tegas termasuk diturunkan beraksi di liga bawahan.

Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Kerjasama Liabiliti Bola Sepak Malaysia Berhad (FMLLP) Kevin Ramalingam berkata tiga pasukan terbabit bertanggungjawab membayar gaji tertunggak pemain mereka, yang termaktub di dalam kontrak.

FMLLP adalah entiti swasta, yang menguruskan Liga M bermula musim ini.

"Hanya wakil satu daripada tiga pasukan berkenaan sudah berjumpa dengan kami bagi membincangkan perkara itu, dan saya berharap dua lagi pasukan akan berbuat demikian secepat mungkin.

"Ketiga-tiga pasukan diberi tempoh yang sama untuk menyelesaikan isu itu. Jika mereka masih gagal menyelesaikan tunggakan itu, kami tidak teragak-agak memotong mata atau mereka akan diturunkan beraksi di liga bawahan," katanya.

Kevin berkata selepas majlis pelancaran Anugerah Pemain Terbaik Bulanan Persatuan Pemain-Pemain Bola Sepak Profesional Malaysia (PFAM), di sini hari ini.

Semalam, CEO PFAM Izham Ismail memberitahu sidang media ATM masih gagal melunaskan tunggakan gaji pemain berjumlah RM3.7 juta, Kelantan (lebih RM400,000) dan Felda United FC (FUFC) (RM220,000), menyebabkan pemain terpaksa mendapatkan bantuan PFAM bagi menyelesaikan isu tersebut dengan segera.

"Melihat kepada kes itu, jumlah gaji (persatuan-persatuan terbabit) berhutang kepada pemain agak tinggi. Kadang-kala mereka perlu memahami keputusan yang kita akan buat, dengan mengambil kira semua aspek termasuk pemain itu sendiri yang akan mendapat gaji mereka semula," katanya.

Dalam perkembangan lain, Kevin berkata penyiar baharu Liga M 2016 akan diumumkan minggu ini, sambil menambah bahawa syarikat itu masih dalam proses memuktamadkan beberapa perkara dengan penyiar berpotensi itu.

Media Prima Bhd, yang memiliki TV3, NTV7, 8TV dan TV9, difahamkan antara badan penyiaran yang menunjukkan minat untuk terus mendapatkan hak siaran Liga M 2016, selepas memperoleh hak itu musim lepas.

Dalam pada itu, Kevin berkata pasukan ATM sudah mematuhi segala prosedur ditetapkan FMLLP sebelum menandatangani kontrak dengan anggotanya bagi memperkuatkan skuad dikenali 'The Gladiators' itu.

Laporan media baru-baru ini, mendakwa status pemain ATM, yang majoritinya tentera hangat diperdebatkan dalam media sosial kerana mereka masih terikat dengan ATM sebagai anggota keselamatan itu.

Pasukan ATM telah membuat keputusan menyenaraikan anggotanya daripada tiga cabang perkhidmatan - laut, udara dan darat - selain tidak menggunakan khidmat pemain import untuk memperkuatkan pasukan berkenaan musim ini.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 10 Februari 2016 @ 11:12 PM