JUARA kejohanan CSGO K2 Kanchenjunga.
MVP Karnal bertanding di ESL One Cologne 2015.
AIMAN ketika bertanding dalam One Asia Cup.
Oleh Hazril Md. Nor

Perlahan-lahan menempa nama dalam arena sukan elektronik pada tahap membanggakan adalah satu kepuasan baginya. HAZRIL MD NOR percaya kisahnya dalam lapangan sukan elektronik mampu cetuskan inspirasi kepada remaja lain yang gemar bermain ‘game’.

Nor Aiman Nor Azham seperti remaja lain seusia dengannya, ingin kebebasan dan kerap kali berdepan konflik dalam diri selain keseronokan. Namun, bezanya bagi anak muda berusia 23 tahun ini, semua keinginan untuk berseronok itu dialihkan kepada peluang mencari ruang berkerjaya dalam sukan elektronik.

Jika diimbas kembali pada awal perjalanannya beberapa tahun lalu, Aiman yang juga pelajar jurusan Ijazah Sarjana Muda Komunikasi Korporat di Universiti Selangor mengikut kata hati untuk menaruh nasib dalam permainan siber Counter Strike Global Offensive (CS:GO).

“Sejak di bangku sekolah lagi, saya memang suka bermain ‘game’ untuk isi waktu lapang. Apa saja pertandingan Counter Strike dianjurkan, saya gunakan platform itu untuk tonjolkan bakat.

“Di peringkat diploma, saya mula main dengan lebih serius. Saya hadir ke kuliah pada waktu pagi dan petang. Sebelah malam pula saya berlatih bermain Counter Strike hingga pagi jadi waktu tidur terhad kepada tiga jam sehari.

“Bagaimanapun, tanggungjawab sebagai seorang pelajar tak pernah saya ketepikan. Duit diperoleh dalam pertandingan saya gunakan untuk tampung perbelanjaan sepanjang pengajian,” katanya yang kini miliki pengalaman lebih lapan tahun dalam permainan siber itu.

Berpaksi kecekapan dan kelincahannya mengawal karakter dalam medan pertarungan dan sering aktif dalam pertandingan, bakatnya dilihat berpotensi besar lantas melayakkan dirinya dilamar untuk menyertai pasukan MVP Karnal pada tahun 2014.

Sejak itu, bermulalah perjalanannya yang lebih serius dalam lapangan sukan elektronik. Pertamanya, Aiman dihadapkan kesukaran sebagai ketua pasukan yang disifatkannya sebagai cabaran mematangkan dirinya dalam usia begitu muda.

“Sebagai ketua, tanggung­jawab terletak atas bahu saya sepenuhnya. Daripada menyusun jadual hinggalah merangka strategi, saya ambil masa untuk belajar semua itu dari awal.

“Alhamdulillah, ahli lain bersikap optimis dan kami semua satu ‘kepala’ jadi memang mudah nak bawa berbincang. Dengan menyertai banyak pertandingan bersama, hubungan kami sudah erat macam adik-beradik.

“Jika kurang seorang, keserasian memang tak wujud. Masing-masing pun ada komitmen sendiri, jadi kami berlatih bila saja berkesempatan,” katanya yang bermain CS:GO sekurang-kurangnya tiga kali seminggu bersama ahli MVP Karnal.

Perjalanan karier sebagai pemain ‘game’ juga punya pasang surut serupa karier lain namun tidak sesekali mematahkan semangat jejaka ini untuk memimpin pasukannya.

“Sebagai satu pasukan, kami pernah berdepan dengan kekalahan dan ia sedikit sebanyak berikan tekanan kepada saya untuk menilai kembali taktik serta strategi yang mungkin tak berkesan.

“Terdetik juga nak mengaku kalah tapi disebabkan sentiasa dikelilingi aura positif daripada ahli lain, saya anggap itu hanya lumrah hidup yang perlu dilalui.

“Apa saja kita lakukan, jangan sesekali menyerah kalah biarpun nampak kegagalan di depan mata. Apabila kita komited dan berdisiplin, insya-Allah kita boleh genggam kemenangan suatu hari nanti,” katanya.

Jelas Aiman, berpeluang berentap dengan pasukan antarabangsa dalam kejohanan Intel Extreme Masters (IEM) di Taipei, Taiwan baru-baru ini antara detik terindah dilaluinya sebagai pemain ‘game’.

“Apabila kita berada di tempat orang, terasa diri kerdil jika mahu dibandingkan dengan pemain luar lebih berpengalaman. Tapi saya didik diri untuk buang perasaan itu jauh-jauh. Saya anggap ia satu cabaran dalam perkembangan karier,” katanya.

Bagaimanapun, katanya, walaupun tidak berjaya menawan takhta kemenangan, dia berpuas hati pasukan MVP Karnal dapat mewakili negara ke peringkat antarabangsa sekali gus membuktikan sukan elektronik di Malaysia mampu berikan saingan sengit kepada negara luar yang sudah ‘matang’ dalam lapangan ini.

“Kalah menang memang adat permainan. Kami lakukan yang terbaik sepanjang pertandingan itu. Walaupun perjuangan terhenti pada pusingan awal, kami bersyukur dapat sampai ke tahap sekarang ini dengan membawa nama Malaysia,” katanya mengakhiri perbualan.

Penulis yakin dengan adanya semangat juang tinggi dan tidak henti usaha, nescaya MVP Karnal terus mampu menjulang nama Malaysia dalam lapangan sukan elektronik. Pendek kata, syabas diucapkan kepada Aiman dan MVP Karnal. Teruskan lagi usaha!

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 11 Februari 2016 @ 8:55 AM