BERNAMA

Kuala Lumpur: Kadar jenayah siber sedang meningkat di negara ini dengan purata 10,000 kes dilaporkan setiap tahun.

Menurut Ketua Pegawai Eksekutif CyberSecurity Malaysia (CSM), Dr Amirudin Abdul Wahab, ia membabitkan pelbagai jenayah dengan yang tertinggi membabitkan penipuan dalam talian dari aspek sistem teknikal dan selebihnya pencerobohan sistem maklumat sesebuah organisasi.

"Terdapat trend di peringkat antarabangsa menunjukkan jenayah siber boleh mengatasi jumlah jenayah tradisional dari segi jumlah kerugian," katanya.

Beliau berkata demikian selepas mewakili CSM menandatangani memorandum perjanjian (MoA) dengan Universiti Teknologi Malaysia (UTM) berkaitan kerjasama dalam bidang Integrasi Pembuktian Siber di sini, hari ini. UTM diwakili Naib Canselornya Prof Datuk Dr Wahid Omar.

Amirudin berkata, 420 kes jenayah siber berjaya diselesaikan tahun lalu, menggunakan khidmat pakar forensik digital CSM.

Katanya dalam menyelesaikan sesuatu kes, CSM mengumpul data penting bagi setiap kes disiasat.

Sementara itu, Wahid berkata kerjasama dengan CSM bagi membangunkan teknologi analisis data raya dan kepakaran infrastruktur siber sedia ada.

"CSM turut membiayai sejumlah RM2.28 juta untuk pembangunan projek dan latihan dengan membina makmal satelit di UTM kampus Kuala Lumpur bagi tujuan penyimpanan Data Besar dan Forensik Digital," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 11 Februari 2016 @ 9:34 PM