GAMBAR fail, pemandangan di kawasan Kalijodo.
GAMBAR fail, pemandangan di kawasan Kalijodo.

Jakarta: Gabenor bandar raya ini, Basuki Tjahaha Purnama berazam untuk menutup Kalijodo, kawasan yang terkenal kerana kegiatan maksiat, termasuk pelacuran, tahun ini.

Bercakap kepada wartawan semalam, Basuki yang lebih dikenali dengan nama Ahok berkata, dia sudah berbincang dengan pegawai daerah Jakarta Utara dan Jakarta Barat untuk mengeluarkan surat peringatan kepada pengusaha di kawasan berkenaan mengenai cadangan menutupnya.

“Kami juga meminta bantuan polis dan tentera mengenai rancangan berkenaan,” katanya.

Dia sebelum ini berkata, pihaknya akan menutup kawasan hiburan malam Kalijodo itu dalam masa terdekat dan menggantikannya dengan taman.

Hasrat menutup kawasan yang terkenal kerana aktiviti maksiat itu timbul semula selepas kemalangan minggu lalu yang menyebabkan empat orang terbunuh selepas seorang pemandu yang mabuk Riku Agung Prasetio, 24, merempuh mereka.

Riku dikatakan memandu keretanya untuk pulang selepas minum arak dan berpeleseran di Kalijodo.

“Kita akan bina taman di kawasan itu. Ia lebih baik daripada menjadi tempat maksiat yang mendatangkan lebih banyak mudarat,” kata Ahok semalam.

Rancangan itu bagaimanapun mendapat tentangan sebahagian penghuni Kalijodo yang terdiri daripada ratusan pelacur, pemilik rumah pelacuran dan penjenayah.

“Kalau dia (Ahok) berani cubalah. Semua penduduk di sini penjenayah. Ahok tidak akan berjaya menutup kawasan ini,” kata seorang penghuni, Manan, kepada wartawan.

Mengulas mengenai ancaman itu, Ahok berkata, dia tidak gentar berdepan dengan penjenayah di situ.

“Jika ada 100 daripada mereka, kita akan bawa 100 polis lengkap bersenjata.

“Kalau perlu, kita bawa sekali kereta kebal untuk menutup Kalijodo. - Agensi

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 12 Februari 2016 @ 7:47 AM