MAYA bersama Juzzthin.
Oleh Georgie Joseph


Sesuaikah penyanyi wanita seperti Maya Karin, 36, membawakan lagu pop rock?

Inilah yang mahu dicuba penyanyi dan pelakon jelita ini sekarang sejak dia selesa membuat persembahan ‘live’ bersama band pengiring.

Maya berkata, sebelum ini dia masih tercari-cari hala tuju untuk muziknya dan mengkaji di mana kekuatan dirinya.

“Selepas kerap mengadakan persembahan bersama band, saya mula terarah kepada muzik pop rock.

“Untuk setiap persembahan, saya banyak menyanyikan lagu orang lain seperti Ella. Dari situlah saya sedar apa yang penonton sebenarnya suka dan boleh nikmati jauh berbanding lagu saya sebelum ini.

“Oleh itu, saya boleh katakan jiwa saya lebih dekat dengan muzik pop rock sekarang ini. Rujukan terdekat muzik yang selalu saya dengar baru-baru ini ialah Ella dan Elyana,” katanya yang kali terakhir merakamkan album ialah pada 2004 menerusi album Bukan Qalamaya.

Selepas hampir 10 tahun meninggalkan bidang nyanyian, Maya kembali dengan album ketiganya berjuduk Teka-Teki pada 2014.

Maya mengakui dia perlu meresap semula jiwanya sebagai penyanyi.

Menurutnya, semua itu tidak mudah dan dia tidak kisah perlu ‘bermula’ semula bagi mesrakan dirinya dengan pentas.

Di layar perak, Maya mungkin sudah terlalu selesa dan hakikatnya antara pelakon paling digeruni.

Namun, dia serta-merta meletakkan dirinya di kedudukan paling bawah apabila bercerita mengenai nyanyian.

Sebaik menaiki pentas, di situ dia kembali berpijak di bumi nyata dan akur perasaan gementarnya masih teruk.

Apatah lagi dia perlu berada di khalayak ramai.

“Itulah bezanya apabila hanya berada di set penggambaran dan depan ramai orang. Terus terang, saya memang sangat gugup apabila menyanyi secara langsung sekarang ini.

“Sembilan tahun tidak beraksi membuatkan saya lupa bagaimana mengawal diri apabila membuat persembahan. Jelas sukar untuk mengikis perasaan itu namun sekarang saya perlahan-lahan memperbaikinya,” katanya yang kini semakin aktif membuat persembahan pentas.

Meletakkan seluruh raganya pada lakonan sebelum ini, bermula 2014 Maya kembali mewarnai seni suara tanah air. Bukan hadir dengan tangan kosong, dia menghadiahkan lagu baru Teka-Teki dan lebih manis dia dilamar bernaung di bawah Warner Music Malaysia.

Tahun lalu, dia kemudian merancakkan lagi karier muziknya dan semakin aktif dengan persembahan pentas. Turut berkolaborasi dengan penyanyi rap, Juzzthin menerusi lagu Serik Dengan Cinta, ternyata membuka dimensi baru buatnya.

“Kolaborasi itu menemukan saya dengan beberapa pemuzik yang akhirnya menjadi band pengiring kami membuat persembahan di mana-mana. Ternyata, ia banyak membantu saya meraih semula keyakinan di pentas.

“Berbanding menggunakan ‘minus one’, saya rasa lebih seronok dan selesa apabila bermain bersama band. Bukan apa, merekalah penyelamat saya sekiranya ada kesilapan berlaku di pentas.

“Memang saya mahu terus kekal nyanyi bersama band namun setakat ini belum lagi terfikir lanjut mengenai perancangan berkenaan,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 12 Februari 2016 @ 10:46 AM