PENJUAL mengayuh basikal roda tiga untuk menjual roti kepada pelanggan.
PENJUAL mengayuh basikal roda tiga untuk menjual roti kepada pelanggan.
ROTI benggali yang berbeza perisa dihidangkan kepada pelanggan di Maliia Bakery.
ROTI benggali yang berbeza perisa dihidangkan kepada pelanggan di Maliia Bakery.
PEKERJA melakukan proses pemotongan roti menggunakan mesin.
PEKERJA melakukan proses pemotongan roti menggunakan mesin.
MOHD Faizal (kanan) bersama Kumaresan menunjukkan roti benggali yang siap dibakar.
MOHD Faizal (kanan) bersama Kumaresan menunjukkan roti benggali yang siap dibakar.
PEKERJA Kamalia Bakery mengasingkan roti untuk proses pembungkusan.
PEKERJA Kamalia Bakery mengasingkan roti untuk proses pembungkusan.
PROSES mengeluarkan roti benggali dari mesin pembakar.
PROSES mengeluarkan roti benggali dari mesin pembakar.
DUA roti benggali berbeza perisa.
DUA roti benggali berbeza perisa.
Oleh Zuhainy Zulkiffli dan Azma Razana Johari


Keenakan roti panggali atau roti benggali memang tidak asing dalam kalangan masyarakat di negara ini yang menikmatinya tanpa mengira masa.

Tidak hairanlah jika beberapa gerai di sepanjang Jalan Transfer dan Jalan Penang, Georgetown ini dibanjiri pengunjung dari pagi hingga ke petang gara-gara penangan roti itu.

Itulah keunikan rasa sajian tempatanyang turut dipromosi kepada pelancong tempatan dan luar negara ketika berkunjung ke Pulau Pinang.

Maliia Bakery (M) Sdn Bhd antara syarikat pengusaha roti benggali yang masih membuat dan memasarkan roti berkenaan di sekitar utara tanah air serta Lembah Klang.

Selepas beberapa kali pengurusannya bertukar tangan, Maliia Bakery kini diteraju empat rakan kongsi iaitu Datuk Mariadas Gopal, Datin Jagathambal Athmanathan, M Kumaresan Mariadas dan Mohd Faizal Mohd Azmi sejak 2007 lalu.

Kumaresan, 35, berkata roti benggali keluaran syarikat berkenaan terkenal dengan keenakannya kerana masih mengekalkan resipi tradisional secara turun-temurun sejak tahun 1928.

Katanya, walaupun sudah tidak menggunakan dapur arang untuk membakar roti, beberapa peralatan lama masih digunakan termasuk kelengkapan membentuk doh roti.

“Penggunaan dapur arang sudah tidak mampu lagi menampung kos permintaan roti benggali kerana pembakarannya terhad iaitu sebanyak 20 hingga 30 buku berbanding ketuhar moden yang boleh membakar hingga 1,500 buku roti sehari.

“Namun di sini, doh roti masih dibentuk menggunakan tangan bagi memastikan keanjalan doh kekal seperti biasa,” katanya.

Malah Kumaresan berkata, walaupun harga barangan di pasaran tidak menentu, pihaknya masih menjual roti benggali pada harga rendah iaitu RM8 bagi sebuku roti benggali perisa asli.

Variasi hidangan roti benggali turut menyebabkan ia kekal popular, malah gaya hidup masyarakat masa kini yang gemar melepak di kedai kopi dan gerai sekitar bandar turut mengekalkan permintaan terhadap makanan itu.

Hasil gandingan bersama rakan karib, Mohd Faizal, 30, yang kini menjadi rakan kongsinya, Kumaresan berkata, mereka memperkenalkan roti benggali dengan tiga lagi perisa iaitu coklat, arang (charcoal) dan gandum (wholemeal).

“Masyarakat masa kini gemar dengan roti berperisa yang dijual hingga RM16 sebuku dan keenakannya dalam variasi hidangan masih sama.

“Roti benggali wholemeal sudah diketahui baik untuk individu yang mengamalkan diet seimbang sementara perisa charcoal pula dapat membantu penghadaman,” katanya.

Kini Maliia Bakery yang beroperasi di Jalan Transfer mempunyai 30 orang pekerja dan mengeluarkan lebih 200 jenis roti lain selain roti benggali.

Generasi baru lebih gemar roti, biskut moden

Roti benggali sememangnya mempunyai keistimewaan tersendiri dengan keenakan dan kelembutan isinya yang tiada tolok bandingnya.

Penggemarnya pula terdiri daripada pelbagai golongan, tua atau muda dan tidak mengira bangsa.

Terletak di kawasan Sungai Perai Tengah, Bukit Mertajam, Pulau Pinang, kilang Roti Kamalia atau lebih dikenali dengan nama Kamalia Bakery antara satu-satunya kilang roti benggali yang masih bertahan di situ.

Pengusahanya masih mengekalkan cara tradisional dalam pembuatan roti benggali sejak mula bertapak pada tahun 1950.

Pengurus Operasi Kamalia Bakery Mohamed Yunus Mohamed Ibrahim, 47, berkata, kilang roti berkenaan ditubuhkan bapanya Mohamed Ibrahim Aboo Bakar pada 1950 sebelum meninggal dunia pada 1984 akibat serangan jantung.

“Selepas bapa meninggal dunia, perusahaan kilang roti ini diambil alih saudara sebelah bapa kerana ketika itu kami adik-beradik masih kecil sementara kakak sulung berusia 20 tahun.

Beliau berkata, permintaan terhadap roti benggali bagaimanapun semakin berkurangan terutama daripada golongan muda yang lebih menggemari roti serta biskut moden.

“Jika dulu penjual roti yang datang mengambil roti seramai 70 hingga 80 orang, tapi kini hanya tinggal 30 penjual roti yang masih setia dengan Kamalia Bakery.

“Golongan muda masa kini lebih memilih roti moden daripada roti benggali atau roti tradisional lain.

“Namun, kami terus berusaha keras untuk mempertahankan perusahaan roti benggali yang sudah dianggap sebagai jiwa bagi keluarga kami,” katanya.

Mohamed Yunus berkata, sejak tujuh tahun lalu, dia bersama kakak sulungnya, Tahanisah, 52, dan dua adiknya, Yashiruddin, 43, dan Zamzarina, 40, mengambil alih sepenuhnya pengurusan kilang roti berkenaan.

“Walaupun sudah lebih 60 tahun beroperasi di tapak asal, kami masih mengekalkan lagi cara tradisional dalam pembuatan roti benggali.

“Penggunaan mesin hanya 30 peratus sahaja iaitu mesin menguli tepung dan membakar roti. Selebihnya kami menggunakan tangan termasuk proses membentuk dan pembungkusan,” katanya.

Mohamed Yunus berkata, Kamalia Bakery yang mempunyai 10 pekerja beroperasi setiap hari iaitu dari 9.00 pagi hingga 10.00 malam kecuali Jumaat dan menghasil­kan sebanyak lebih 30 jenis roti selain roti benggali.

Panggali nama asalnya

Pada asalnya ia dikenali sebagai roti panggali yang bermaksud persaudaraan dan resipinya dikatakan ditemui di India pada 1928.

Kedatangan komuniti India Muslim dari Madras pada tahun 1932 turut membawa resipi roti panggali ke Tanah Melayu dan kemudian diusahakan sekumpulan pengusaha roti yang dikenali sebagai British Malaya Bakery.

Namun, ada antara masyarakat ketika itu silap menyebut panggali sebagai benggali dan sejak itu, ia terus dikenali sebagai roti benggali.

Ketika zaman pendudukan Jepun pada 1946, British Malaya Bakery ditukar kepada Malaya Bakery kerana Jepun tidak menyukai penggunaan nama ‘British Malaya.’

Pada tahun 1964 iaitu selepas Perang Dunia Kedua, nama kedai berkenaan sekali lagi ditukar kepada Ismalia Bakery dan diambil alih pengusaha berkeluarga.

Perusahaan roti benggali pada ketika itu sepenuhnya menggunakan mesin tradisional selain pembakaran roti menggunakan arang.

Hingga pada 2007, kedai berkenaan bertukar tangan dan diberi nama Maliia Bakery serta masih mengekalkan rasa, bentuk dan resepi asal roti benggali itu.

Kini, roti benggali turut dikenali sebagai roti mamak dalam kalangan penduduk tempatan serta digemari pelbagai lapisan masyarakat tanpa mengira kaum dengan cara hidangan yang berbeza.

Masyarakat Melayu menikmati hidangan roti benggali bersama sup sementara Cina pula menggemari hidangan roti benggali bakar yang disapu jem, mentega atau bersama telur separuh masak.

Sementara masyarakat India pula lebih gemar menikmati roti bakar bersama gulai kari ayam atau ikan sebagai sarapan atau hidangan tengah hari.

Kewujudan beberapa gerai roti bakar di sekitar Georgetown turut memberi peluang kepada pelancong asing menikmati roti benggali berkenaan dengan pelbagai hidangan.

Malah, rangkaian hotel turut mempromosi serta menjadikan hidangan roti benggali sebagai menu sarapan dan minum petang.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 12 Februari 2016 @ 11:53 AM