AMIR dan pasukannya bangunkan Hipster Pomade untuk membantu lelaki mendapatkan dandanan rambut yang diingini tanpa berbelanja besar.
AMIR dan pasukannya bangunkan Hipster Pomade untuk membantu lelaki mendapatkan dandanan rambut yang diingini tanpa berbelanja besar.
PENGGUNAAN produk rambut setiap hari mencetuskan idea untuk Amir tampil dengan Hipster Pomade.
PENGGUNAAN produk rambut setiap hari mencetuskan idea untuk Amir tampil dengan Hipster Pomade.
Oleh Nor Faizah Mohamed

Penampilan rambut yang kemas dan menarik tidak hanya milik wanita. Dalam majoriti tayangan iklan, drama juga filem, gaya rambut lelaki ditampilkan penuh kemas dan segak yang menyerlahkan lagi daya maskulinnya.

Bagi kaum Adam, rambut yang bersih dan bebas kelemumur sememangnya menjadi aset berharga untuk mereka. Ia juga dikatakan sering bertindak sebagai daya tarikan lelaki untuk memikat hati wanita idaman.

Selain bersyampu dan merapikan rambut, penggunaan produk untuk membentuk rambut juga menjadi satu kemestian bagi lelaki moden.

Tanpa bantuan krim, gel dan mousse, rambut mungkin tampak rata, tidak bermaya malah boleh mengakibatkan kusut sepanjang hari. Justeru, penggunaannya dalam penggayaan bagaikan perkara wajib bagi lelaki sebelum melakukan aktiviti di luar rumah.

Cetusan daripada kelaziman itu, Hipster Pomade menampilkan penggayaan rambut versatil yang merangkumi pelbagai penampilan berbeza.

Jenama yang dibangunkan anak muda dari Nilai, Negeri Sembilan itu memberi tumpuan kepada kepelbagaian penggayaan mengikut jenis rambut.

Jelas Amir Syakireen Ramli, Hipster Pomade diperkenalkan bagi membantu khalayak tempatan khususnya golongan lelaki mendapatkan dandanan rambut yang diingini tanpa perlu berbelanja besar.

“Jika rambut dikatakan mahkota wanita, perkara sama juga bagi lelaki. Majoriti lelaki menggunakan produk rambut setiap hari untuk membolehkan mereka kelihatan kemas.

“Rambut lelaki sebenarnya lebih mudah rosak kerana lelaki jarang melakukan rawatan rambut, justeru penggunaan produk rambut yang minimum dapat mengelakkan rambut dibebani terlalu banyak produk hingga akhirnya memburukkan lagi keadaan.

“Ada sesetengah produk yang digunakan itu teksturnya terlalu berat dan mewah hingga membebankan rambut serta kulit kepala. Di situlah bermulanya masalah seperti kulit kepala berminyak dan kelemumur hinggakan ada yang terus berhenti menggayakan rambut mereka.

“Apa yang cuba dibawakan Hipster Pomade bagaimanapun berbeza kerana ia berasaskan air dan mudah diurus. Ia membantu gaya rambut tahan lama, tetapi dalam masa sama tidak meninggalkan rasa berat atau melekit pada rambut.

“Selain itu, lilin lebah atau beeswax yang terkandung di dalamnya bertindak seperti perapi dengan memberikan hasil rambut lembut dan mudah diurus biarpun selepas dibilas,” katanya.

Bagi yang meminati gaya rambut pacak (spiky), Hipster Pomade memberikan ketahanan maksimum pada penggayaan, malah ia juga sesuai untuk jejaka yang mahukan gaya ringkas serta semula jadi.

Jika gaya kasual jadi pilihan, sedikit lurutan Hipster Pomade dapat membantu menguruskan rambut yang menggerbang. Ia turut berupaya menghasilkan gaya berombak semula jadi, selain memberi ilusi rambut lebat dan boleh dibentuk dalam apa jua stail.

Hadir dalam dua varian haruman, epal dan vanila, Hipster Pomade turut membantu rambut berbau harum dalam tempoh lama.

Hipster Pomade dicetuskan daripada penggunaan pomade yang popular di Eropah sejak awal abad ke-19. Nama ‘pomade’ itu diambil daripada bahasa Perancis, pommade, bermaksud salap.

Nama itu kemudian digabungkan bersama pomum atau pomata yang diambil daripada kombinasi bahasa Latin dan Itali bermaksud epal. Epal hancur menjadi antara bahan utama dalam penghasilan pomade.

Berbanding wax atau gel, penggunaan pomade tahan lebih lama dan tidak mengeringkan atau membuatkan rambut berminyak. Penggunaan pomade juga tidak terhad untuk lelaki, bahkan wanita juga mula menggemarinya kerana aplikasi yang ringkas.

Selain lebih 300 stokis di seluruh Malaysia, Hipster Pomade boleh didapati di lebih 100 laman web dan media sosial menerusi gerakan #hipsterpomade dan #hpcod(lokasi).

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 12 Februari 2016 @ 12:05 PM
Digital NSTP Subscribe