Skip this ad x
SARAT hamil, Diana akui dia perlu aktifkan diri dengan pelbagai kerja.
KEBAHAGIAAN Diana bersama suami tercinta Habib.
Oleh Norhayati Nordin

Selepas setahun membina mahligai kasih bersama suami tercinta, akhirnya pasangan Diana Amir dan Mohd Habib Bullah A Rahman, 27, akan menimang cahaya mata sulung mereka sekitar Februari 2015.

Kini, Diana atau nama sebenarnya Nurdiyana Amir Hashim, 28, sarat mengandung enam bulan. Pun begitu, dia masih aktif dengan pelbagai aktiviti seni dan program motivasi.

Bersua Diana di pusat penyiaran TVAlHijrah (TVAH) baru-baru ini, Diana kelihatan cukup cergas biar pun keadaan dirinya semakin berisi. Katanya, dia kena aktif dan tak boleh duduk diam.

"Sepanjang mengandung sekarang, saya kena selalu bergerak. Kalau berehat dan tidak membuat sebarang kerja, kepala boleh pening dan nak muntah diibuatnya.

"Pernah sekali, saya bercuti dan ketika itu hanya mahu berehat saja di rumah. Sayangnya, kepala jadi pening dan tekak pula rasa mual macam hendak muntah.

"Sudahnya, saya sibukkan diri dengan kerja dan alhamdulillah tak ada pula nak pening atau mual pun. Mungkin, bayi saya ini sukakan ibunya aktif," kata Diana.

Terpaksa pilih watak sesuai

Meskipun dilihat seperti sudah 'menyepi diri' dalam industri seni, Diana masih aktif berlakon. Cuma dia agak memilih watak yang sesuai.

"Saya masih lagi berlakon sebenarnya. Cuma sekarang lakonan bukanlah keutamaan. Apapun saya akan muncul dengan drama Cinta Ilahi untuk slot Zehra di TV3 tidak lama lagi.

"Dalam drama ini, saya bergandingan dengan pelakon Johan Asaari. Bahkan ketika penggambaran itu, saya sudah mengandung tiga bulan.

"Namun, mujur perut tak nampak dan saya pun banyak memakai jubah ketika penggambaran," katanya berehat seketika daripada mengacarakan program Semangat Intelek Swadaya atau SIS di TV9.

Diana yang turut berlakon drama Titian Ombak di TVAH berkata, dia bersikap memilih kerana bersebab. Ujarnya selain diri kini hamil, dia perlu memilih watak mengikut imejnya yang berhijab.

Menurut Diana lagi, suami cukup memahami kerjayanya dalam bidang seni dan tidak pernah menghalang untuk dia terus aktif. Cuma katanya, dia harus bijak membahagi masa.

Bakal timang cahaya mata perempuan

Tidak berselindung mengenai jantina cahaya matanya, Diana yang kelihatan berseri-seri meskipun sarat mengandung berkata, dia dan suami akan menimang cahaya mata perempuan.

Katanya, dia teruja menantikan kelahiran bayi itu dan mereka suami isteri juga tidak pernah menyimpan impian untuk jantina anak.

"Sama ada bayi perempuan atau lelaki, saya dan suami menerima dengan hati terbuka apa saja jantina zuriat dianugerahkan Tuhan. Pada kami, apa yang penting Tuhan sudah memakbulkan doa untuk menganugerahkan zuriat pengikat kasih dibina. Itu sudah membuatkan kami sangat bersyukur.

"Bahkan, saya juga berharap dipermudahkan Tuhan dalam proses kelahiran nanti. Semoga semuanya berjalan lancar," katanya.

Diana yang kini aktif memberi ceramah motivasi di universiti tempatan berkata, dia juga terbabit untuk satu slot untuk program realiti Islamik kanak-kanak, Adik-Adikku di RTM.

Kata pelakon filem Salam Cinta ini, dalam program itu, dia akan terbabit untuk penggambaran satu slot untuk mengajar bahasa Inggeris kepada peserta.

Bakal muncul dengan filem baru Raya Aidil Dan Fitri di pawagam tahun depan, Diana juga berkata, dia akan tamat kontrak dengan syarikat pengurusan MIG Talent yang diikat selama lima tahun pada Februari 2015 nanti.

Turut aktif mengusahakan perniagaan busana Muslimah secara dalam talian (online), Diana berkata, setakat ini sambutan diterima sangat menggalakkan. Katanya, tekad dia akan terus berniaga.

Berbicara juga mengenai pengalaman ketika hamil, Diana berkata, dia mengalami alahan teruk pada awal kandungannya. Ujarnya, dia pernah tidak boleh makan apa-apa.

Namun katanya, sekarang semua sudah OK dan tiada masalah lagi. Bahkan selera makan pun ujarnya semakin bertambah.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 25 November 2014 @ 5:02 AM