LIOW menghadiri Rumah Terbuka Tahun Baru Cina Persatuan Budhist di Merlimau. FOTO Khairunisah Lokman
Mohd Hilmie Hussin


Jasin: Rayani Air tidak patut mengeluarkan kenyataan mendakwa pesawatnya disabotaj selagi siasatan belum disiapkan.

Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Liow Tiong Lai berkata, syarikat penerbangan terbabit mahupun orang ramai perlu menghentikan segera spekulasi yang boleh menggugat keselamatan negara.

"Apabila ada dakwaan sabotaj, ini adalah serius dan isu besar," katanya selepas menghadiri Rumah Terbuka Tahun Baru Cina Persatuan Budhist di Merlimau, di sini hari ini.

Beliau berkata, Jabatan Penerbangan Awam (DCA) belum menerima laporan siasatan awal daripada Rayani Air namun menjangkakan isu itu dapat diselesaikan dalam masa terdekat.

"Kita di DCA tahu ini adalah masalah teknikal biasa, sebaik menerima laporan, dengan melihat keretakan pada cermin kokpit itu sudah dapat mengesahkan sama ada Rayani Air berdepan masalah teknikal atau sabotaj," katanya.

Selasa lalu, dua penerbangan milik Rayani Air dari Lapangan Terbang Antarabangsa Langkawi ke Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) 2 dibatalkan selepas cermin kokpit pesawat Boeing 737 dikesan mrngalami keretakan.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 12 Februari 2016 @ 2:27 PM