Sarah Zulkifli


Kuala Lumpur: Shahrul Anuar, 23, yang didakwa mencuri telefon bimbit berharga RM800 di Plaza Low Yat, Bukit Bintang, Julai tahun lalu, didenda RM2,000 oleh Mahkamah Majistret di sini hari ini atas tuduhan mengambil dadah syabu di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Dang Wangi .

Majistret Muhamad Faizal Ismail menjatuhkan hukuman itu terhadap Shahrul Anuar Abdul Aziz yang juga seorang penganggur, selepas tertuduh mengaku bersalah sebaik pertudunan dibacakan jurubahasa mahkamah.

Mahkamah memerintahkannya menjalani hukuman penjara sebulan jika gagal membayar denda selain pengawasan polis selama dua tahun.

Mengikut pertuduhan, dia didakwa memberikan dirinya sendiri dadah jenis syabu pada 4.15 petang, 12 Julai tahun lalu di tandas, Pejabat Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik IPD Dang Wangi, di sini.

Bagi kesalahan itu, dia didakwa mengikut Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 yang memperuntukkan hukuman denda maksimum RM5,000 atau penjara maksimum dua tahun dan pengawasan polis selama dua tahun.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 12 Februari 2016 @ 3:20 PM