Syamsul Yusof pada majlis pelancaran Gerak Khas 2016 di Pawagam Mini P Ramlee FINAS. Foto NSTP/ADI SAFRI
Oleh Ridzuan Abdul Rahman


Kuala Lumpur: Pelakon dan pengarah Syamsul Yusof mengakui tidak mampu menguruskan Skop Productions Sdn Bhd dan drama Gerak Khas jika diminta menggalas tanggungjawab itu.

Syamsul berkata dia tidak boleh mengikut cara bapanya, Datuk Yusof Haslam yang kuat bekerja.

“Saya tak sekuat ayah. Bayangkan ketika saya hendak tidur dia masih bekerja dan apabila saya bangun dia sudah bangun terlebih dahulu.

“Lagipun saya tak cukup masa kerana perlu memikirkan filem termasuk Munafik yang akan ditayangkan tidak lama lagi,” katanya.

Syamsul turut mendedahkan mula jatuh cinta dengan karya bergenre kepolisan selepas beraksi dalam musim baru siri Gerak Khas 2016.

Berikutan itu dia merancang bekerjasama dengan pihak polis bagi menerbitkan filem bercorak kepolisan yang menarik.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 12 Februari 2016 @ 6:42 PM