GAYA kasual dan eksklusif dipilih bagi mewarnai kebanyakan rekaan.
Oleh Hajahfarhana Tarmudi


Mudah dan praktikal, pakaian berkonsepkan sedia dipakai antara yang menjadi pilihan kebanyakan wanita pada masa kini bagi yang ingin bergaya pantas terutama mereka berkejar masa untuk ke pejabat setiap hari.

Bagi memudahkan wanita Muslimah bergaya kasual, Butik Fieda Rahim memperkenalkan koleksi pakaian sedia dipakai yang boleh disuaipadankan mengikut cita rasa pelanggannya.

Gaya kasual dan eksklusif dipilih bagi mewarnai kebanyakan rekaan yang ditampilkan oleh pemiliknya, Rafidah Abdul Rahim bersama hasil gabungan idea kreatif ibunya, Maznah Ismail.

Bukan hanya memberi perhatian kepada gaya kasual saja, malah dua beranak ini turut menampilkan rekaan eksklusif seperti tudung bawal premium yang menggunakan fabrik sifon, lycra dan crepe.

Bagi menonjolkan penampilan yang mewah, helaian tudung bawal berkenaan ditambah dengan elemen perincian kain renda dan batu swarovski asli. Selain itu, butik berkenaan juga menyediakan pelbagai pilihan helaian jubah dan baju kurung menarik bagi memberi pilihan yang pelbagai kepada Muslimah bergaya sopan.

Pada masa sama, butik berkenaan menyediakan produk kecantikan, kesihatan dan makanan yang dihasilkan oleh peniaga Bumiputera yang menepati syarak sebelum ia dijual kepada pengguna.

Butik di Jalan Tengku Ampuan Zabedah E9/E, Shah Alam itu dibuka pada 1 Mac 2015 selepas Rafidah menjalankan perniagaan secara dalam talian pada 2014.

Konsep kedai tampak santai dengan dilengkapi ruang menunggu yang selesa untuk memudahkan pelang­gan mendapatkan pelbagai pilihan koleksi menarik dalam suasana menenangkan.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 13 Februari 2016 @ 5:00 AM