Mayat Palani ditemui dalam parit, semalam. FOTO ihsan pembaca
Shamsul Munir Safini


Nibong Tebal: Mayat seorang lelaki tempatan ditemui dalam parit di Jalan Ooi Kar Seng, Nibong Tebal pagi semalam.

Mayat yang dikenal pasti sebagai L Palani,30, ditemui pemilik kebun di situ pada 10 pagi sebelum dia melaporkannya kepada pihak berkuasa.

Sumber berkata, berdasarkan siasatan awal mayat yang hampir reput itu dipercayai sudah beberapa hari berada di situ .

Katanya, identiti mendiang diperoleh daripada kad pengenalan yang dijumpai pada mayatnya.

"Mayat kemudian dibawa ke Hospital Sungai Bakap bagi tujuan bedah siasat dan keluarga mendiang juga sudah dimaklumkan.

"Berdasarkan keterangan ahli keluarga mendiang, Palani mempunyai sejarah penyakit sawan dan sudah beberapa hari tidak pulang ke rumah," katanya.

Menurutnya, polis masih menunggu laporan bedah siasat bagi menentukan punca kematian serta setakat ini kes diklasifikasikan sebagai kematian mengejut.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 13 Februari 2016 @ 6:01 PM