MASIH kekal bentuk terdahulu.
LAMPU belakang bergaya.
TEMPAT duduk barisan kedua yang selesa.
PERUMAH lampu utama baharu.
TUJUH tempat duduk.
MPV kompak yang praktikal.

Bagi mereka yang berkeluarga, kenderaan pelbagai guna (MPV) seharusnya menjadi pilihan kerana memenuhi kriteria serta bersesuaian kegunaan harian atau beriadah di hujung minggu.

Ciri baharu pada Toyota Avanza boleh diambil kira jika anda mahu memiliki sebuah MPV yang ditawarkan harga berpatutan, selain tidak mahu dibebani bayaran ansuran bulanan.

Seperti generasi sebelumnya, Toyota Avanza model baharu yang diperkenalkan pada tahun lalu tampil anggun dengan wajah terkini tetapi masih mengekalkan reka bentuk praktikal serta dinamik.

Jika dibandingkan dengan model terdahulu, tidak banyak perbezaan cuma pada bahagian lampu halogen hadapan utamanya diberikan rekaan baharu.

Ia juga tampil sedikit imej sporty selepas menggunakan rekaan bampar dan jeriji hadapan yang menerima sentuhan baharu sekali gus tampak bergaya.

Padanan pelekat pada bahagian tepi serta kemasan lampu kabus, cermin sisi dilengkapi lampu isyarat serta spoiler belakang turut memberi impak gaya keseluruhan terhadap MPV berkenaan.

Sebaik menjengah ke bahagian dalamannya, penulis dapat berasakan model itu masih mengekalkan ruang kabin praktikal untuk memuatkan tujuh penumpang.

Ruang kabin kombinasi warna gelap menyerlahkan rekaannya untuk tampak berkualiti, selain mampu menutup kotoran akibat tumpahan minuman atau makanan.

Papan pemuka dengan butang penyaman udara tersusun kemas dan tampak moden serta mudah dicapai supaya tidak mengganggu tumpuan ketika memandu.

Paparan pelbagai informasi (MID) yang dilengkapi skrin paparan sentuh bersaiz tujuh inci turut berfungsi sebagai paparan sistem navigasi dan kamera undur.

Panel meternya tampil rekaan terbaru dengan latar belakang hitam di mana ia memberi pencahayaan menarik terutama pada waktu malam.

Sistem penyaman udara yang terbahagi kepada dua bahagian iaitu hadapan dan belakang menawarkan keselesaan kepada penumpang ketika cuaca terik di negara ini.

Lebih membanggakan apabila kenderaan ini mempunyai banyak ‘poket’ simpanan pada keempat-empat panel pintu untuk memudahkan meletak bekas atau botol minuman.

Kerusi barisan kedua yang boleh diubah ke hadapan atau ke belakang memberi ruang optimum bagi tempat duduk paling belakang.

Selain itu, kerusi barisan kedua dan ketiga yang boleh dilipat secara mendatar memudahkan untuk memunggah barangan besar atau panjang.

Pengendaliannya tidak ubah seperti memandu kenderaan sedan biasa, selain sistem stereng kuasa elektriknya membuatkan penulis tidak perlu menggunakan banyak tenaga serta mudah membuat pusingan di laluan sempit.

Malah, tempat duduk pemandu yang sedikit tinggi memberi pemandangan menyeluruh ketika pemanduan.

Prestasi enjin baharu yang diperkenalkan menerusi siri NR dengan ciri Dual VVT-i (Variable Valve Timing with intelligence) menjanjikan pemanduan cekap dan pelepasan gas ekzos lebih bersih berbanding sebelum ini.

Bagi penulis, enjin berkenaan masih di tahap yang memuaskan dan boleh diberi pujian ketika dikerah untuk memecut kelajuan tinggi.

Kuasa maksimum sehingga 103PS bagi model Toyota Avanza 1.5 S ini ternyata memberi kepuasan kepada penulis sebaik saja menekan pedal minyaknya, selain memadai bagi sebuah kenderaan MPV kompak untuk pemanduan santai di lebuh raya atau mendaki laluan berbukit.

Selain itu, kedapan bunyinya sangat membanggakan berbanding model terdahulu kerana ia dilengkapi bahan penebat pada ruang lantai dan kerangkanya untuk mengurangkan bunyi bising putaran enjin serta getaran dalam ruang kabin.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 14 Februari 2016 @ 5:02 AM