SYUKUR single terbaru lepas 2 tahun tetap diterima baik peminat.
Oleh Rudy Imran Shamsudin


Lepas lama menyepi kerana menumpukan perhatian kepada kerjaya sebagai penyampai di radio Era FM, Zahid kembali memeriahkan indusri muzik tempatan dengan single terbaru, Biasa.

Hampir enam bulan diedarkan, ternyata lagu ciptaan DJ Fuzz itu diterima baik, dan peminat masih terus memberikan sokongan kepada kerjaya seni juara Akademi Fantasia musim kedua (AF2) itu.

Dihubungi baru-baru ini, Zahid menjelaskan dia bersyukur, walaupun sudah tidak lama muncul dengan single baru peminat tidak pernah melupakan dirinya bermula muncul juara AF2 hingga sekarang.

Zahid atau nama sebenarnya Ahmad Zahid Baharuddin menyanyi semula lepas menandatangani kontrak bersama syarikat rakaman Suria Records (SRC) selama dua tahun.

Keputusan untuk kembali bergelar artis rakaman turut dibuat atas perbincangan dengan pihak atasan Era FM selepas penyanyi yang pernah tampil dengan dua album iaitu Wo!!! dan Baru 08, tidak lagi menyambung kontrak dengan stesen radio popular itu tahun lalu.

“Pihak Era FM banyak membantu dengan memperkenalkan saya kepada beberapa wakil syarikat rakaman. Selepas perbincangan dibuat akhirnya saya bersetuju untuk bernaung dengan SRC,” katanya.

Zahid menegaskan, walaupun kembali bergelar artis rakaman selepas lama tidak muncul dengan single baru, dia tidak berasa kekok. Berbeza situasi, katanya, cuma kini kerjaya nyanyiannya diuruskan sepenuhnya syarikat rakaman SRC.

“Saya akui perjalanan karier agak mudah apabila kembali memutuskan menjadi penya­nyi sepenuh masa kerana Era FM sendiri banyak membantu. Bagaimanapun saya tidak boleh bergantung harap kepada mereka sepenuhnya selepas ini. Saya harus bermula dari bawah,” katanya.

Bercerita lanjut, Zahid berkata keputusan diambil ini sudah tentu ada baik dan buruknya, lebih-lebih lagi sebelum ini dia bergelar penyampai Era FM.

“Hendak kata perjalanan awal saya untuk kembali memulakan kerjaya sebagai pe­nyanyi sepenuh masa lancar sepenuhnya tidak juga. Apatah lagi single Biasa ini dihasilkan dengan kolaborasi bersama jenama Wonda Coffee.

“Biasa mengambil masa agak lama untuk diterima dan diputarkan di kebanyakan stesen radio tempatan. Itupun lepas saya menjelaskan kepada pihak media, saya bukan lagi penyampai Era FM dan kolaborasi dengan jenama minuman kopi itu hanya untuk tempoh yang ditetapkan,” katanya.

Sokongan diberikan peminat jelas Zahid banyak memberikannya perangsang untuk menyanyi semula walaupun sebelum ini dia tidak pasti arah tuju apa yang harus dilakukan apabila tidak lagi menjadi pe­nyampai. Begitupun apabila sudah diberi peluang, dia sudah nampak jalannya.

“Disebabkan sudah agak lama tidak menyanyi, saya meletakkan diri saya sama seperti penyanyi baru yang lain. Saya mengharapkan kehadiran saya semula dalam industri diterima baik, apatah lagi genre dalam Biasa sedikit berbeza.

“Dulu saya lebih dikenali sebagai penyanyi lagu-lagu hip hop. Untuk single terbaru ini, selepas berbincang dengan syarikat rakaman kami memutuskan untuk menghasilkan muzik yang matang dan mesra radio. Maka terhasillah Biasa,” katanya.

Kata Zahid, dia mendendang­kan lagu ciptaan DJ Fuzz itu selepas perbincangan dua hala dilakukan bersama SRC dan waktu sama dia akui sudah lama mengenali komposer prolifik itu menyebabkan kerja rakaman menjadi mudah.

“Umum tahu lagu-lagu dicipta DJ Fuzz sungguh diminati ramai. Malah sebaik saja diperdengarkan ia menjadi popular dan mengungguli kebanyakan carta lagu popular di semua stesen radio tempatan.

“Apabila diberi peluang bekerja dengan DJ Fuzz, saya mahu menggunakan peluang ini apatah lagi kami mengenali antara satu sama lain. Ternyata keputusan dibuat itu tepat dan Biasa mendapat pujian peminat,” katanya.

Mereka yang mengikuti perkembangan kerjaya seni Zahid pasti tahu penyanyi yang baru saja menimang cahaya mata sulung Zareef Nufael, November lalu juga mempunyai pelbagai bakat. Selain menyanyi dan menjadi penyampai radio, dia juga boleh berlakon dan mengacara.

Menceritakan kemungkinan dia kembali ke konti selepas tidak bersama Era FM, kata Zahid, dia ada menerima tawaran tetapi buat masa sekarang tidak mahu menerimanya kerana bimbang akan timbul konflik.

“Saya takut nanti ia memberi kesan kepada kerjaya nyanyian yang baru hendak bermula balik. Bagi saya tunggu dulu, sekurang-kurangnya biarlah saya tampil dengan album penuh. Pada saya sekarang ini tumpuan penuh adalah keluarga dan karier nyanyian.

“Namun kalau bidang lain seperti lakonan dan pengacaraan saya tidak keberatan untuk melakukannya, asal saja ia tidak bertentangan dengan jadual menyanyi,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 14 Februari 2016 @ 5:02 AM