KOMPOSER muda berdebar dengar lagunya dinyanyikan rakan di udara.
Oleh Norhayati Nordin


Biarpun perjalanan seni Eleena Harris, 20, masih hijau dan mentah, ia sama sekali bukan halangan untuk berkongsi karyanya dengan artis lain.

Eleena yang dikenali dengan lagu ciptaannya, Terlalu Rindu hasil kerjasama dengan DJ Fuzz, juga menukil melodi lagu untuk rakan seangkatannya.

Dia bangga lagu ciptaannya, Boleh Blah nyanyian Nana Sheme kini menjadi perhatian pendengar. Sebagai komposer baru, Eleena yang ramah dan mesra berbicara akui berasa bimbang apabila karya nukilannya dirakamkan.

“Kalau saya yang nyanyi sendiri, mungkin tidak terlalu kisah dan terasa sangat. Sebaliknya apabila lagu itu diberikan untuk dendangan penyanyi lain, saya ada sedikit kerisauan.

“Ini kerana apabila orang bersedia nyanyikan lagu ciptaan saya, semestinya pada masa sama harapan diletakkan pada lagu itu untuk diterima peminat.

“Begitulah juga dengan lagu Boleh Blah nyanyian Nana yang mana saya dapat rasakan dia turut meletakkan harapan dan keyakinannya.

“Apapun, jauh di sudut hati saya bersyukur dan gembira kerana lagu Boleh Blah diterima baik peminat muzik tempatan meskipun melodi dan liriknya agak ringkas,” katanya.

Eleena yang juga anak bongsu dalam keluarga berkata, apa yang paling utama dia gembira minatnya terhadap bidang muzik mendapat sokongan keluarga.

Ibunya adalah individu yang menjadi tulang belakang dan penggerak utama dalam memberi sokongan kepada diri dan minatnya.

Pembabitan awalnya dalam nyanyian bermula selepas dia memenangi pertandingan Finding Amazing Talents yang dijurikan DJ Fuzz.

Pada pertandingan yang berlangsung di HELP University itu, Eleena hanya sekadar mencuba nasib. Menang atau kalah, bukan soal utama buat dirinya.

“Ketika pertandingan itu, saya mempertaruhkan lagu Terlalu Rindu yang keseluruhan liriknya ditulis dalam bahasa Inggeris menggunakan judul My Show.

“Bagaimanapun, mungkin memang sudah rezeki saya, lagu My Show melayakkan saya muncul juara. Kemudian DJ Fuzz tukarkan liriknya ke bahasa Melayu.

“Apa yang pasti, saya tidak duga lagu Terlalu Rindu berjaya mendapat sambutan baik peminat termasuk turut dipilih menjadi lagu tema drama TV3,” katanya terharu dengan sokongan peminat.

Dalam penciptaan lagu, anak jati ibu kota ini akui memang gemar menulis lirik berbahasa Inggeris. Baginya, lebih mudah menghasilkan lirik Inggeris berbanding bahasa Melayu.

Kini mahasiswi jurusan Perakaunan Universiti Teknologi MARA (UiTM) Shah Alam, Selangor ini perlu bijak membahagi masa di antara pelajaran dan nyanyian.

“Meskipun muzik adalah minat saya, impian ibu bapa dan keluarga tidak wajar diketepikan. Justeru, saya juga mahu berjaya dalam pelajaran.

“Oleh itu, ingin karier seni dan pelajaran bergerak seiring membuatkan saya harus mengatur masa sebaik mungkin. Apapun, pelajaran keutamaan saya,” katanya.

Untuk 2016, Eleena berharap sinarnya dalam karier nyanyian akan terus menyerlah. Malah Eleena berharap impian untuk muncul dengan album solo tercapai tahun ini.

Enggan bersikap terburu-buru, Eleena yang mengakui dia sudah mempunyai beberapa koleksi lagu untuk dimuatkan dalam album itu. Katanya, dia ingin memilih dengan teliti.

“Semua penyanyi ingin muncul dengan album sendiri. Namun, untuk memberi yang terbaik buat peminat rencah dan resipinya harus kena.

“Sehubungan itu, saya dengan kerjasama DJ Fuzz akan berbincang dalam membuat pemilihan lagu yang bagus dan berkualiti buat pendengar.

“Maklumlah, sebagai penyanyi dan komposer baru, saya tidak mahu dianggap syok sendiri. Oleh itu, saya perlu bijak memilih lagu sesuai,” katanya.

Sekalipun lagu Terlalu Rindu kini masih menjadi siulan peminat, Eleena dengan semangat juang yang tinggi juga nekad melancarkan single terbaharunya, Hanya Kamu.

Lagu dinyanyikan secara duet bersama penyanyi Filipina, Mark Adam itu dianggap Eleena sebagai percaturan tepat. Katanya, vokalnya dan Mark serasi.

Bercita-cita untuk menjadi akauntan bertauliah suatu hari nanti, Eleena berkata dia sangat teruja menjalin kerjasama dengan penyanyi lain.

Ujarnya, dia yang suka berkarya sangat terbuka untuk berkongsi dengan penyanyi lain dengan harapan lagu dicipta itu dapat membantu dikenali peminat.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 14 Februari 2016 @ 5:02 AM