PENYERANG Kedah, Ahmad Fikri Saarani (tengah) menanduk ke arah pintu gol ketika menentang Felda United.
Oleh Raja Norain Hidayah Raja Abdul Aziz


Jengka: FELDA United memanfaatkan peluang beraksi di laman sendiri dengan mengutip tiga mata penuh menewaskan Kedah 2-0 pada aksi perlawanan pembukaan Liga Super di Stadium Tun Abdul Razak, malam tadi.

Kedua-dua gol itu diperoleh pada separuh masa kedua.

Kedah bermula garang dengan melakukan serangan bertubi-tubi di kawasan lawan dan nyaris mencipta jaringan namun sepakan Baddrol Bakhtiar hanya melewati bahagian kanan pintu gol pada minit keenam.

Penjaga gol The Fighters, Farizal Harun mempamerkan aksi cemerlang apabila tangkas mengagalkan beberapa percubaan pasukan lawan.

Peluang terbaik Kedah hadir pada minit ke-24 apabila pemain importnya, Carlos Eduardo de Souza melakukan rembatan kencang namun tepat ke dakapan Farizal.

FELDA menggandakan serangan namun cubaan Syahid Zainon pada minit ke-39 tersasar jauh dari pintu gol skuad Helang Merah.

Gol yang dicari-cari skuad The Fighters akhirnya hadir pada minit ke-64 apabila Lutfulla Turaev merembat dari luar kotak penalti.

Selang empat minit kemudian, FELDA dihadiahkan sepakan penalti selepas Hadin Azman dijatuhkan pemain lawan dan Zah Rahan Krangar tenang menyempurnakan sepakan itu.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 14 Februari 2016 @ 5:04 AM