MOHD Nor Azam (dua dari kiri) bersama Hairani (kanan) selepas majlis menandatangani MoU.
Oleh Mohd Amin Jalil

Seremban: Selepas berjaya melahirkan ramai pemain berbakat dalam bola sepak di peringkat usia antara 7 hingga 16 tahun, khidmat dan kepakaran Kelab Bola Sepak TMS Old Boys (TMS Old Boys) semakin mendapat perhatian.

Sekolah Kebangsaan Sri Seremban (SKSR) di sini, menjadi sekolah swasta pertama di negeri ini menjalinkan kerjasama dengan kelab berkenaan menerusi perjanjian persefahaman (MoU), baru-baru ini.

Presiden TMS Old Boys Mohd Nor Azam Abdullah berkata, kerjasama itu membabitkan program bimbingan bola sepak dalam aspek komponen 3M iaitu menendang, menghantar dan mengawal bola.

Katanya, barisan jurulatih kelab itu akan melatih murid SKSR dalam sukan berkenaan bagi meningkatkan lagi kualiti permainan.

“Kelab ini mempunyai 16 orang jurulatih yang mengendalikan lapan kumpulan di seluruh negeri yang membabitkan keseluruhan seramai 300 pemain berusia antara 7 hingga 16 tahun.

“Kami akan melatih murid sekolah menerusi program dan jadual latihan khas di padang sekolah itu, setiap Sabtu. Saya mengalu-alukan kesudian sekolah bekerjasama dengan kelab bagi membimbing dan melahirkan pemain berpotensi pada masa depan,” katanya.

Menurutnya, selain latihan intensif, MoU itu juga merangkumi pembentukan pasukan bola sepak bawah 12 tahun SKSR, sesi undang-undang standard berdasarkan piawaian Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA) serta aspek teknikal dan sains sukan khusus untuk guru sekolah.

Sementara itu, Guru Besar SKSR Hairani Mukhtar berkata, pihaknya amat menghargai kesudian kelab berkenaan bekerjasama untuk menjayakan misi sekolah cemerlang dalam bola sepak dalam tempoh dua tahun hingga 2017.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 14 Februari 2016 @ 5:07 AM