ABU Bakar (tengah) beramah mesra dengan penyelidik yang menyertai Ekspedisi Penyelidikan Saintifik Malaysia ke Antartika 2016. FOTO Ahmad Irham Mohd Noor
Siti A'isyah Sukaimi


Sepang: Lebih 200 sampel diperolehi lapan penyelidik di Antartika ketika menyertai Ekspedisi Penyelidikan Saintifik Malaysia ke Antartika 2016.

Timbalan Menteri Sains Teknologi dan Inovasi, Datuk Dr Abu Bakar Mohamad Diah berkata, antara sampel yang dapat dikumpulkan seperti air, alga, sedimen, lumut, batuan, haiwan tidak bertulang belakang di dalam laut, debunga dan tanah manakala bacaan gas rumah hijau dalam udara serta data geomagnetik direkodkan.

Menurutnya, sampel berkenaan turut dianalisis di sana malah, ada yang dibawa pulang ke negara ini untuk dibuat kajian selanjutnya.

"Segala sampel dan bacaan yang direkodkan adalah untuk beberapa kajian saintifik berhubung kait dengan Antartika, biodiversiti dan perubahan iklim selain penekanan kepada kajian gas rumah hijau dan lapisan ozon.

"Hasil kajian ini akan dapat menyumbang kepada penjanaan ilmu dan pengetahuan baru yang boleh membantu masyarakat tempatan dan global untuk lebih memahami fenomena perubahan iklim," katanya pada sidang media, hari ini.

Beliau berkata demikian selepas menyambut ketibaan lapan penyelidik Malaysia diketuai pensyarah Fakulti Kejuruteraan Elektrik Universiti Teknologi Mara (UiTM), Dr Mohamad Huzaimy Jusoh yang tiba ke tanah air kira-kira 3 petang tadi.

Sebelum ini, lapan penyelidik berlepas pada 18 Januari lalu dan melakukan pelayaran menggunakan kapal layar 'Yatch Australis'.

Ekspedisi berkenaan bermula dari Pelabuhan Ushaia, Argentina dan perjalanannya ke Antartika dianggarkan 1,000 kilometer.

Ekspedisi yang disertai lapan penyelidik terbabit dianjurkan oleh Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi melalui agensi Yayasan Penyelidikan Antartika Sultan Mizan (YPASM).

Penyelidik terbabit masing-masing dua peserta daripada Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) dan Universiti Sains Malaysia (USM), manakala seorang daripada Universiti Malaya (UM), UiTM, Universiti Malaysia Terengganu (UMT) dan International Medical University (IMU).

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 14 Februari 2016 @ 7:06 PM