NUR ADILIN melakukan salah satu pergerakan dalam sukan powerlifting.
DARI kiri, Athiyah, Nur Adilin dan Rahimah bersama pingat dimenangi dalam pertandingan powerlifting.
MAHU buktikan wanita juga mampu melakukan seperti lelaki.
Oleh Siti Zarinah Sahib

Melihat susuk tubuh ketiga-tiga wanita ini kelihatan kecil saja. Namun, saat mereka mengangkat barbell terserlah kesungguhan dalam sukan powerlifting yang baru saja diterokai mereka.

Selain aktif bersenam, Nur Adilin Muhamed Ali, 30, Rahimah Abdurrahim, 31 dan Athiyah Abu Bakar, 26, mempunyai minat mendalam dalam sukan powerlifting yang jarang dimonopoli wanita terutama yang berhijab. Walaupun sukan ini masih terlalu baru, ia semakin mendapat tempat dalam kalangan peminat sukan lasak di Malaysia.

Powerlifting sering dibandingkan dengan sukan yang menonjolkan kekuatan termasuk angkat berat. Tetapi, apa yang membuatkan powerlifting unik adalah ia berdasarkan bebanan intensiti dan ketersediaan.

Menjelaskan lebih lanjut, menurut Nur Adilin, perlaksanaan sukan powerlifting sememangnya berbeza dengan angkat berat. Ini kerana powerlifting ialah latihan mengangkat kuasa asas termasuk squat dan barbell di atas bahu atau dengan cara berbaring dan menarik palang (bar).

“Ia sebenarnya berasal daripada latihan tambahan yang wujud dalam angkat berat. Ini sukan baru dalam acara angkat berat yang memberikan atlet peluang untuk membuktikan keupayaan dan kekuatan diri mereka,” katanya.

Bagi Nur Adilin, dia tertarik menyertai sukan powerlifting selepas menyedari kepentingan dan faedah senaman membabitkan bebanan yang semakin meningkat. Menyedari banyak pertandingan mula diadakan, ia memberi inspirasi kepada wanita ini menceburinya.

“Oleh kerana tidak ramai Muslimah menceburi sukan ini, pada mulanya mungkin timbul rasa kurang senang dalam kalangan rakan lelaki sendiri. Tetapi, sebenarnya ia permulaan yang menunjukkan wanita tidak harus malu untuk bersenam demi kesihatan mereka,” katanya.

Sebagai jurulatih senaman dan memiliki gimnasium FixMe Studio di Setiawangsa, Kuala Lumpur, Nur Adilin sememangnya sangat arif mengenai pelbagai senaman yang pernah dilakukannya sebelum ini. Namun, senaman powerlifting memberikan kesan berbeza terutama kebaikan untuk otot dan menjadikan badan lebih terbentuk dan cergas.

Menyertai pertandingan powerlifting pertama pada Mac 2015, ia sememangnya memberikan pengalaman berharga buat Nur Adilin kerana dari situ dia semakin faham bagaimana sukan ini berlangsung dan persediaan yang harus dilakukannya.

Walaupun ramai mengatakan mengenai risiko ketika pertandingan, ia dapat dielakkan menerusi latihan senaman bersama jurulatih bertauliah dan berpengalaman dalam bidang masing-masing.

“Sebenarnya sukan ini paling kurang risiko sekiranya dilakukan dengan cara yang betul. Ketika latihan kami diajar cara melakukannya. Begitu juga ketika pertandingan kerana ada jurulatih dan fisioterapi yang memberikan bantuan sekiranya berlaku perkara tidak diingini,” katanya.

Rahimah jatuh cinta dengan powerlifting

Bagi Rahimah Abdurrahim, 31, minat dalam powerlifting bermula selepas menyertai kelas senaman di gimnasium untuk pembentukan badan dan kekuatan otot. Lama-kelamaan ia menimbulkan keseronokan kerana nampak hasilnya berbanding senaman kardio. Cuma memerlukan 45 hingga 60 minit selama dua kali seminggu, dia sudah nampak hasil yang ketara.

“Saya rasa lebih sihat dan badan pula lebih terbentuk dan cantik. Saya terfikir apakah bentuk senaman lain yang boleh dilakukan bagi mendapatkan tulang yang kuat dan dilakukan tanpa batasan. Menerusi pencarian di Facebook pada 2014, saya bertemu Athiyah, pengasas powerlifting Muslimah di Malaysia dan Adilin yang berkebolehan dalam membina kekuatan badan menerusi gaya latihan tersendiri.

“Tanpa menunggu lama saya terus bertemu mereka untuk menjalani latihan membina kekuatan secara teknikal. Dari situ saya berjinak-jinak dalam powerlifting dan mula jatuh cinta disebabkan ia bukan saja membolehkan saya mencuba dalam sukan membina kekuatan, tetapi mempelajari teknik me­ngelak daripada kecederaan dan mengaktifkan keseluruhan otot,” katanya yang merasakan powerlifting sukan sesuai untuk dirinya kerana sebelum ini dia juga pesilat, pemain skuasy, tenis dan bola tampar.

Apa yang menyebabkan wanita ini tertarik dengan powerlifting dan bukannya sukan lain kerana powerlifting menitikberatkan teknik dan postur yang betul serta cara untuk mengaktifkan keseluruhan otot badan. Ini secara tidak langsung memberikan kefahaman mengenai biologi mekanikal tubuh dan cara mendisplinkan diri.

“Hasilnya, senaman ini mampu menguatkan densiti tulang dan saya tiada masalah untuk mengangkat bebanan berat seperti tong gas kerana lebih memahami teknik mengurangkan kecederaan,” katanya.

Tambahnya, powerlifting memiliki tiga rutin senaman iaitu squat, bench­press dan deadlift. Setiap rutin dilakukan pada hari berbeza untuk mendapatkan latihan yang berkesan dan memperbaiki teknik. Ia selalunya dilakukan dalam beberapa set, bermula daripada bebanan ringan hing­ga maksimum 80 peratus bergantung pada kekuatan diri dan kemudian turun semula.

Latihan ini berbeza sekiranya peserta ingin menyertai pertandingan. Selalunya program berlangsung selama empat hingga enam minggu bagi memperbaiki otot yang lemah.

Namun, ramai berang­gapan senaman ini tidak sesuai untuk wanita terutama Muslimah kerana ia lari daripada sifat semula jadi wanita yang lembut dan sopan. Hakikatnya sukan ini tidak akan menyebabkan wanita menyerupai lelaki kerana wanita tiada hormon testosterone sebanyak lelaki. Malah mereka yang melakukannya tidak akan mendapat tubuh badan seperti lelaki.

“Untuk menangani persepsi masyarakat ialah dengan belajar secara profesional dan mempraktikkannya. Saya sentiasa menunjukkan kesungguhan dan mencabar potensi diri. Paling penting sebagai Muslimah perlunya memakai pakaian sempurna dan menutup aurat ketika latihan. Ini kerana hijab dan pakaian yang sempurna membuka mata bahawa sukan ini tidak memerlukan pakaian yang seksi dan ini satu cara untuk memasarkan sukan ini kepada umum,” katanya yang bertugas sebagai eksekutif percukaian di salah sebuah syarikat pengeluar minyak dan gas terkemuka di Malaysia.

Dengan ilmu yang dimilikinya kini, pada Mac 2015 Rahimah menyertai pertandingan Malaysia Powerlifting Alliance (MPA2015) dan mendapat pingat emas untuk kategori 67.5 kilogram (kg) dan juga emas untuk kategori 67.5kg pada November 2015 di Strength Assembly Meet (SAM2015).

Malah, Rahimah mencipta rekod peribadi untuk ketiga-tiga bahagian iaitu squat dengan 102.5kg, bench­press 45kg dan deadlift 117.5kg. Selain aktif dalam sukan powerlifting Rahimah juga jurulatih zumba sejak Jun 2013 dan terbaru menjadi jurulatih masala bhangra.

Powerlifting bantu lebih bertenaga

Bertugas sebagai guru tidak menjadi penghalang kepada Athiyah Abu Bakar, 26, untuk menyertai sukan powerlifting sejak tiga tahun lalu. Ia bermula ketika menuntut di New Zealand apabila dia banyak meluangkan masa bersenam di gimnasium.

Minat ini diteruskan sekembalinya ke Malaysia dan apabila rakan memperkenalkan sukan powerlifting, dia terus memberanikan diri mencuba.

“Saya tertarik pada latihan yang sama dengan apa yang saya lakukan sebelum ini iaitu membabitkan belakang badan, kaki serta otot lain.

Namun, yang membezakannya ialah pengulangan semakin berkurang iaitu sebanyak satu hingga tiga kali saja, tetapi bebanan semakin bertambah,” katanya.

Apa yang dilakukan Athiyah adalah dengan membina otot terlebih dulu iaitu melakukan pengulangan senaman sebanyak lapan hingga 12 kali. Selepas fasa ini tamat barulah beralih kepada mengangkat bebanan bergantung kepada kekuatan badan.

Walaupun keistimewaan yang diperoleh sama dengan senaman di gimnasium, powerlifting menjadikan seseorang itu lebih bertenaga melakukan kerja rumah disebabkan mereka memiliki tulang yang sihat dan kuat.

“Sebagai wanita, sukan powerlifting menjadikan saya lebih bertenaga dan cergas melakukan kerja rumah. Malah, kerja seperti mengangkat barang dapat dilakukan sendiri tanpa bantuan orang lain,” katanya yang turut menerima kata-kata sinis hanya disebabkan berhijab.

Namun, Athiyah dapat membuktikan sekali gus membuang persepsi orang ramai yang mengatakan ia hanya sesuai untuk lelaki saja.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 15 Februari 2016 @ 5:00 AM