PESERTA Deloitte RIC bergambar kenangan bersama juri.
Oleh Nor Hanisah Kamaruzaman

Seramai empat siswa Universiti Malaya (UM) berjaya merangkul gelaran juara bagi Pertandingan Deloitte Risk Challenge (Deloitte RIC) peringkat kebangsaan baru-baru ini.

Kemenangan itu melayakkan mereka mewakili negara ini ke peringkat akhir ASEAN yang bakal berlangsung di Singapura pada Jun depan.

Menggelarkan diri dalam kumpulan Team Ravenous, siswa UM itu adalah Tham Kuen Wei jurusan pengurusan hartanah, Sharon Jessy jurusan perundangan Sharon Jessy, Charroogesinee Radhakrishnan jurusan ekonomi dan Vanessa Eunice Scully jurusan perundangan.

Pertandingan yang berasaskan bidang perniagaan itu memerlukan peserta mengambil bahagian dalam pengurusan kewangan, pengurusan dan operasi pelaburan serta syarikat.

Walaupun skop kerja berkenaan asing bagi siswa UM itu, namun mereka berjaya mengharungi dan menyelesaikannya dengan penuh semangat.

Semua peserta turut diminta menyiapkan satu pelan perniagaan yang lengkap, kajian kebarangkalian dan model perniagaan.

Pertandingan Deloitte RIC itu merangkumi tiga peringkat iaitu pusingan awal, separuh akhir dan akhir.

Pada pusingan awal, peserta dikehendaki menulis esei berkenaan penubuhan satu syarikat untuk memasarkan dan mengembangkan minuman kegemaran negara ini iaitu teh tarik ke peringkat global.

Sementara peringkat separuh akhir pula membabitkan pembentangan dan inovasi.

Melangkah ke peringkat akhir pula menjadi situasi paling sukar kerana peserta perlu menubuhkan syarikat nanoteknologi yang memfokuskan kepada industri perubatan.

Pada peringkat itu, peserta perlu menjawab beberapa soalan juri termasuk Pengarah Pertandingan Deloitte RIC Tan Sri Ramesh, Eddie Loh dan Fazlin Ilhan, Ketua Perhubungan Pernigaan ACCA Kelly Sidhu dan ketua juri, Tan Sri Mohd Nizar Najib.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 15 Februari 2016 @ 5:24 AM