AKSI Faizal (dua dari kiri) ketika menentang Maybank di Stadium Hoki Majlis Bandaraya Kuala Terengganu.
AKSI Faizal (dua dari kiri) ketika menentang Maybank di Stadium Hoki Majlis Bandaraya Kuala Terengganu.
Oleh Faizul Azlan Razak

Kuala Terengganu: “Saya setuju sertai semula pasukan kebangsaan kerana fikirkan ketua jurulatih, Tai Beng Hai yang menaikkan nama saya dalam sukan hoki ini.

“Sebelum ini saya membuat keputusan untuk berehat dari kejohanan antarabangsa dan kini saya sudah bersedia membantu pasukan negara,” kata penyerang prolifik negara, Faizal Saari.

Pemain kelahiran Kuala Terengganu itu berkata, dia tidak mampu menolak tawaran bekas jurulatihnya itu yang kembali membimbing skuad hoki senior kebangsaan.

Menurutnya, tugasan pertama dengan skuad kebangsaan adalah Kejohanan Liga Hoki Dunia pusingan kedua di Singapura pada 17 hingga 25 Januari tahun depan.

“Saya akan menjalani latihan negara seminggu selepas Liga Hoki Malaysia (MHL) berakhir dan buat masa sekarang, saya mahu fokus kepada pasukan hoki Terengganu (THT),” katanya selepas membantu pasukannya membelasah Maybank 6-1, kelmarin.

Faizal sebelum ini mencetus kontroversi apabila enggan mewakili skuad negara atas alasan tidak berpuas hati dengan agihan imbuhan diberikan Konfederasi Hoki Malaysia (MHC).

Penyerang itu mendedahkan perkembangan berkenaan kepada kenalan rapatnya dengan memuat naik gambar surat persaraan ke dalam laman akaun Instagram miliknya.

Ditanya kontroversi berkenaan, penyerang berusia 23 tahun itu tidak mahu memikirkan masalah itu sebaliknya bertekad memberikan aksi terbaik buat skuad negara.

“Selepas aksi Piala Dunia lalu, saya sudah selesaikan segala masalah ini dan kini bersedia menyertai semula kem kebangsaan,” katanya.

Faizal memulakan kerjayanya di LHM dengan Tenaga Nasional Berhad (TNB) dan muncul penjaring terbanyak pada 2011 dengan 19 gol dan pada Jun 2011 dia menyertai pasukan Southern Hotshots dalam Liga Hoki Australia.

Pada 2012, dia kembali ke TNB serta menerima tawaran beraksi dalam Divisyen Satu Sepanyol untuk Kelab Atletic Terrassa dan selepas musim 2012 berakhir, Faizal dibeli Mumbai Magicians dengan AS$26,000 (RM79,560).

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 25 November 2014 @ 5:10 AM