DARI kiri Syed Anuar, Sulaiman dan Zaharin ketika acara penyampaian tajaan.
DARI kiri Syed Anuar, Sulaiman dan Zaharin ketika acara penyampaian tajaan.

Kira-kira 1,200 peserta terdiri daripada ahli Kelab AmBank Group (KAG) dan keluarga mereka mengambil bahagian dalam program tajaan unta dari baka Dromedary di Zoo Negara oleh Kumpulan AmBank, baru-baru ini.

Pada acara itu, peserta berpeluang terbabit dalam aktiviti menyeronokkan seperti melukis inai, peraduan mewarna, melukis wajah, refleksologi, menonton pertunjukan silap mata dan persembahan badut, selain berkesempatan bertemu panda di Pusat Pemuliharaan Panda Gergasi, Zoo Negara.

Kumpulan bank berkenaan sudah menaja enam unta dari baka Dromedary di Zoo Negara sejak 1991 dan setahun selepas itu, menaja perbelanjaan penjagaan dua unta baka sama sehingga kini, dengan jumlah sumbangan mencecah RM680,250.

Program tajaan di zoo antara aktiviti sosial dijalankan kumpulan bank itu dalam memainkan peranannya melahirkan warga korporat lebih prihatin.

Ketua Pegawai Eksekutif Eksekutif AmBank Group Datuk Sulaiman Mohd Tahir berkata, unta menjadi lambang ikonik bank berkenaan sejak bertahun lalu, membuatkan mereka berbesar hati untuk memperbaharui tajaan sebanyak RM40,000 pada tahun lalu.

“Peranan CSR memberi impak langsung kepada operasi kumpulan terutama di kawasan kami beroperasi dengan menumpu kepada komuniti tanpa mengira bangsa, agama ataupun kepercayaan.

“Sehubungan itu, kami ingin terus menyumbang dalam pembangunan mampan komuniti sekitar kawasan operasi dan ia akan menjadi pendekatan utama kami dalam program prihatin masyarakat,” katanya.

Pada acara tajaan itu, replika cek disampaikan Sulaiman kepada Presiden Persatuan Zoologikal Malaysia, Datuk Seri Zaharin Md Arif.

Turut hadir Presiden KAG dan Ketua Komunikasi dan Pemasaran Korporat Kumpulan AmBank Group Syed Anuar Syed Ali dan ahli KAG bersama keluarga masing-masing.

Inisiatif itu dijalankan di bawah Program AmKasih yang menjadi landasan kepada usaha CSR dalam membantu pembangunan berterusan dalam komuniti.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 16 Februari 2016 @ 5:27 AM