CLATTENBURG menganugerahkan penalti selepas bola terkena tangan Sterling.
CLATTENBURG menganugerahkan penalti selepas bola terkena tangan Sterling.
AFP

Manchester, United Kingdom: Pengurus Manchester City Manuel Pellegrini mengkritik pelantikan Mark Clattenburg sebagai pengadil perlawanan penting antara pasukannya menentang pesaing Liga Perdana Tottenham yang menyaksikan anak buahnya tumbang 1-2 gara-gara penalti kontroversi.

Clattenburg menganugerahkan penalti selepas bola terkena tangan Raheem Sterling apabila hantaran lintang pemain Tottenham Danny Rose terkena belakang lengan pemain sayap City terbabit.

Selepas menjadi pengadil ketika Tottenham menang 4-1 di White Hart Lane, September lalu yang Pellegrini merasakan dua gol tuan rumah tidak sepatutnya dibenarkan, pengurus City berkenaan mendakwa Clattenburg tidak seharusnya diberikan tugas mengadili perlawanan penting sekali lagi.

“Malang bagi kami apabila terpaksa berdepan pengadil sama, Clattenburg selepas kami tewas di tangan Tottenham pada pusingan pertama gara-gara dua gol ofsaid. Ia keputusan yang buruk. Bagi saya, bukan satu keputusan bagus untuk berdepan pengadil sama sekali buat kali kedua,” katanya.

“Keputusan dibuatnya silap (menghadiahkan penalti). Bola terkena belakang badan Sterling sebelum terkena sikunya. Sterling langsung tidak melihat bola itu.

“Ia saat penting yang mempengaruhi hala tuju perlawanan. Sebelum itu, mereka gagal membuat percubaan dan tidak berpeluang menjaringkan gol.”

Harry Kane menyempurnakan penalti itu dan pemain gantian Kelechi Iheanacho bertindak bijak untuk mengikat kedudukan tetapi City tewas buat kali keempat musim ini apabila Christian Eriksen menghasilkan gol keenamnya musim ini ketika permainan berbaki tujuh minit.

Anak buah Pellegrini kini ketinggalan enam mata di belakang pendahulu, Leicester City dan kekalahan kepada Spurs yang kedua berturut-turut di laman sendiri buat pertama kali sejak Disember 2008.

City tidak dapat mengalahkan pasukan yang berada dalam kelompok enam teratas musim ini.

Pengurus City itu menambah: “Mungin ketika ini kami tidak dapat mengalahkan mereka, tapi pada hujung musim nanti, kita akan melihat pasukan mana yang lebih baik.”

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 16 Februari 2016 @ 7:12 AM