HOSPITAL MSF yang musnah dalam serangan tentera Russia di Idlib.

Beirut: Serangan udara disyaki dilancarkan tentera Russia membedil sebuah hospital Doktor Tanpa Sempadan (MSF) di Syria semalam, menyebabkan sembilan termasuk seorang kanak-kanak terbunuh, kata Pemerhati Hak Asasi Manusia Syria.

Bangunan hospital itu dimusnahkan serangan udara, berkemungkinan Russia, berhampiran Maaret al-Numan di wilayah utara Idlib, kata pemantau berpangkalan di Britain itu.

Puluhan orang cedera akibat kejadian itu. MSF dalam satu kenyataan mengesahkan sebuah hospital disokongnya di wilayah Idlib ‘musnah dalam serangan udara’ semalam.

Jumlah kematian tidak dinyatakan, tetapi menurutnya sekurang-kurangnya lapan kakitangan hilang selepas empat roket membedil hospital dengan 30 katil itu.

Hospital berkenaan mempunyai 54 kakitangan, dua dewan bedah, jabatan pesakit luar dan bilik kecemasan.

Ketua misi Syria MSF Massimiliano Rebaudengo berkata: “Kejadian itu nampak seperti serangan yang sengaja menyasarkan struktur kesihatan. Kami mengutuk serangan itu sekeras-kerasnya.

“Kemusnahan hospital itu menyebabkan 40,000 penduduk setempat kehilangan akses untuk perkhidmatan perubatan di zon konflik yang aktif.”

Organisasi itu menyokong kira-kira 150 hospital di Syria.

Pesawat pejuang Russia melancarkan serangan udara di Syria sejak 30 September lalu bagi menyokong Presiden Bashar al-Assad.

Sementara itu, sekurang-kurangnya 14 orang awam terbunuh apabila hospital kanak-kanak, sekolah dan beberapa lokasi lain di bandar Azaz berhampiran sempadan Turki dibedil peluru berpandu semalam.

Seorang pegawai perubatan dan dua penduduk berkata, sekurang-kurangnya lima peluru berpandu membedil hospital di pusat bandar itu dan sekolah yang juga menjadi lokasi orang ramai berlindung selepas melarikan diri daripada serangan besar-besaran tentera Syria. - Agensi

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 16 Februari 2016 @ 7:34 AM