SEORANG pelajar membuat ucapan ketika protes disertai pelajar Universiti Jawaharlal Nehru menentang penahanan ketua kesatuan pelajar di New Delhi.
Reuters

New Delhi: Protes pelajar terbesar India - dianggap yang terbesar dalam tempoh suku abad - semakin buruk apabila merebak ke seluruh negara susulan penahanan pemimpin pelajar berhaluan kiri yang ditahan atas tuduhan hasutan.

Kemarahan pelajar meletus selepas Kanhaiya Kumar, 28, yang menganjurkan demonstrasi untuk memperingati ulang tahun pelaksanaan hukuman ke atas Afzal Guru - lelaki Kashmir dituduh menyerang Parlimen India pada 2013 - ditahan polis.

Demonstrasi itu yang bermula di universiti berprestij Jawaharlal Nehru (JNU), merebak ke sekurang-kurangnya 18 institusi pengajian lain.

Dalam protes itu, ribuan pelajar dan ahli akademik JNU memboikot kelas dan mendirikan penghadang dalam konflik yang semakin buruk dengan pihak berkuasa.

Kejadian itu menambahkan lagi ketegangan dalam konfrantasi ideologi antara kerajaan dan sayap kiri serta kumpulan liberal nasionalis Modi yang menyebabkan pengkritik menyamakannya dengan tindakan bekas pemimpin, Indira Ghandi mengisytiharkan darurat pada 1970-an bagi menutup mulut mereka yang berbeza pendapat.

Bagaimanapun, ahli parti pemerintah Bharatiya Janata Modi (BJP) pimpinan Modi menuduh Kumar mengapi-apikan sentimen anti-India, malah ada yang menganggap universiti itu - yang terkenal dengan tradisi berhaluan kiri - perlu ditutup.

Presiden BJP, Amit Shah berkata: “Saya beri jaminan bahawa setiap tindakan yang kami ambil untuk melindungi negara ini. Sebarang aktiviti anti-India tidak boleh diterima.”

Sementara itu, semalam, pergelutan turut berlaku di luar bangunan mahkamah New Delhi antara peguam dan pelajar di mana Kanhaiya hadir ke mahkamah.

Protes meletus apabila Kanhaiya ditahan Jumaat lalu kerana dituduh menghasut selepas memberi ucapan mempersoalkan hukuman gantung Afzal pada 2013 bagi pembabitannya dalam serangan di Parlimen pada 2001.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 16 Februari 2016 @ 7:36 AM