ERRA Fazira.
ERRA Fazira.
KEJUTAN daripada Umie Aida.
KEJUTAN daripada Umie Aida.
ERRA mendapat ciuman daripada anaknya, Engku Aleesya.
ERRA mendapat ciuman daripada anaknya, Engku Aleesya.
ERRA bersama rakan-rakan baiknya.
ERRA bersama rakan-rakan baiknya.
Oleh Sudirman Mohd Tahir


Menginjak usia 42 tahun pada 9 Februari lalu, pelakon jelita Erra Fazira sekali lagi ‘terkena’ apabila diraikan dalam sambutan ulang tahun yang dirancang tanpa pengetahuannya.

Menurut Erra atau nama sebenarnya Fazira Wan Chik, perancangan yang diatur pembantu peribadi dan sahabat baiknya, Datin Sri Umie Aida menjadi.

“Sambutan kali ini saya ‘naik hantu’. Kejutan yang dibuat benar-benar menjadi sehingga segala urusan kerja saya yang lain jadi kelam- kabut.

“Mana tidaknya, sepatutnya pada masa itu saya ada mesyuarat dan janji temu dengan orang lain. Namun, saya dibawa ke tempat lain yang tidak ada dalam jadual.

“Bagaimanapun, saya baik-baik saja. Tidak marah pun. Apa dibuat itu tidak jadi masalah kerana ia tanda ingatan daripada kawan-kawan. Sebabnya, kalau bukan saya hari jadi kawan lain pun terkena juga,” katanya.

Pada usia ini, Erra mahukan peningkatan dalam hidupnya baik hal dunia mahupun akhirat.

“Masih banyak impian belum terlaksana, tetapi saya tidak mahu memaksa diri. Paling penting bagi saya, ada peningkatan dalam hidup.

“Jika tidak banyak, dapat sedikit pun okey. Malah, sekiranya apa dirancang itu tak menjadi saya ada perancangan lain.

“Ada juga beberapa azam tahun lalu belum tercapai dan saya akan cuba realisasikan tahun ini,” katanya.

Kahwin 2016?

Selain itu, ibu kepada seorang cahaya mata perempuan ini tidak terlepas diasak pertanyaan mengenai perkahwinan.

Malah ada dakwaan mengatakan Erra bakal mengakhiri zaman solonya tahun ini.

Baru-baru ini ada gosip tersebar kononnya penyanyi Shahir sudah menghantar rombongan merisik dan meminang Erra.

“Alhamdulillah ramai rakan artis berkahwin tahun ini, tetapi apa yang pelik nama saya pun terkait sama. Sehingga ada pihak mengesahkan saya sudah dirisik dan dipinang.

“Saya kagum dengan pihak terbabit kerana ada masa ambil tahu hal peribadi orang lain.

“Ketika berita itu tersebar saya menjalani penggambaran di Chiang Mai. Apa yang disebarkan itu tak betul sama sekali,” katanya.

Menurut Erra, ibunya juga terkejut apabila dimaklumkan perkara itu malah sedia berkongsi kepada umum jika benar dia mahu berkahwin.

“Mak ada bertanya benarkah saya nak berkahwin dengan Shahir? Lalu saya bertanya balik, adakah Shahir datang merisik dan meminang?

“Insya-Allah, jika ada khabar gembira mengenai perkara ini saya akan kongsikan. Saya tidak suka berahsia,” katanya.

Pelakon filem Sembilu ini turut berterima kasih kepada rakan yang sentiasa mendoakan dia segera bertemu jodoh.

“Saya percaya, sebaik-baik doa adalah perkara yang baik-baik. Jadi, teruskan berdoa untuk kebahagiaan saya.

“Bagi saya, tidak semestinya berkahwin itu bahagia begitu juga sebaliknya.

“Kebahagiaan saya sekarang adalah dapat membesarkan anak dan menjaga ibu dengan baik. Soal jodoh saya serahkan kepada ketentuan Allah,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 16 Februari 2016 @ 8:36 AM