Harzani (dua dari kanan) didakwa di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur atas dua tuduhan berhubung jual beli saham sebuah syarikat dan pengubahan wang haram bernilai lebih RM13 juta, tiga tahun lalu. FOTO Ghazali Kori
Nor Azura Abdul Jalil


Kuala Lumpur: Bekas pengarah syarikat cari gali minyak dan gas mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini atas dua pertuduhan berkaitan dengan transaksi jual beli saham sebuah syarikat bernilai lebih RM13 juta, tiga tahun lalu.

Datuk Harzani Azmi,49, membuat pengakuan itu selepas kedua-dua pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Mohd Nasir Nordin.

Berdasarkan pertuduhan pertama, Harzani didakwa mengemukakan kepada Lembaga Pengarah Tanjung Offshore Berhad suatu kertas cadangan mengenai pembelian 49 peratus saham Syarikat Gas Generators (M) Sdn Bhd yang dimiliki Syarikat Appolusa Sdn Bhd pada harga RM34.3 juta padahal nilai saham itu adalah tidak benar kerana melebihi nilai sebenar.

Pertuduhan kedua pula, lelaki itu didakwa secara tidak langsung membabitkan diri dalam pengubahan wang haram dengan mengarahkan firma guaman Mathews Hun Lachimanan untuk memindahkan wang berjumlah RM13.3 juta dari akaun bank milik firma itu ke satu akaun lain.

Mahkamah kemudian membenarkan tertuduh diikat jamin RM100,000 bagi setiap pertuduhan dengan seorang penjamin dan pasport tertuduh diserahkan kepada mahkamah sebelum menetapkan 23 Mac ini untuk sebutan semula kes.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 16 Februari 2016 @ 12:19 PM