Muhammad Faaris diiringi anggota polis selepas diperintahkan menjalani pemeriksaan selama sebulan di Hospital Bahagia. FOTO Mior Azlan
Sarah Zulkifli


Kuala Lumpur : Mahkamah Sesyen di sini, hari ini memerintahkan seorang lelaki yang menikam ibunya dengan pisau di Desa Rejang Setapak Jaya, minggu lalu, menjalani pemeriksaan mental selama sebulan di Hospital Bahagia.

Hakim Balqis Aini Mohd Ali mengeluarkan perintah itu terhadap tertuduh, Muhammad Faaris Syahiddin Ahmad, 22, selepas membenarkan permohonan Timbalan Pendakwa Raya Nurakmal Farhan Aziz yang mahu pemeriksaan dijalankan terhadap tertuduh yang dipercayai sakit mental.

Mengikut pertuduhan, dia didakwa sengaja menyebabkan cedera parah terhadap Khariah Hashim, 50, guru Sekolah Rendah Agama Al-Amin, Keramat Permai, dengan menggunakan pisau yang berkemungkinan boleh mendatangkan kematian, pada 8.30 malam 8 Februari lalu.

Bagi kesalahan itu, dia didakwa mengikut Seksyen 326 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan penjara sehingga 20 tahun dan denda atau sebat, jika sabit kesalahan.

Sebelum ini, akhbar melaporkan akibat kejadian itu, mangsa cedera di perut, dahi dan kedua-dua tangan selepas ditikam suspek yang dipercayai mengalami sakit mental sebelum lelaki itu akhirnya ditahan anggota unit kereta peronda polis (MPV) Ampang Jaya ketika sedang merayau-rayau selepas dua hari melarikan diri.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 16 Februari 2016 @ 2:38 PM