DUA individu yang diburu PERHILITAN bagi membantu siasatan kehilangan taring harimau.
MOHD Hasdi menunjukkan gambar dua lelaki yang viral di laman sosial. FOTO Ahmad Rabiul Zulkifli
Ahmad Rabiul Zulkifli


Kuala Terengganu: Dua individu diburu Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (PERHILITAN) bagi membantu siasatan kehilangan taring harimau yang mati dilanggar di Lebuhraya Pantai Timur 2 (LPT2) pada 6 Februari lalu.

Pengarah PERHILITAN Terengganu, Mohd Hasdi Husin berkata, gambar dua lelaki yang menjadi viral sejak kelmarin itu memberi petanda baru kepada jabatannya dalam usaha menjejaki individu bertanggungjawab terhadap perbuatan mengambil taring harimau betina bunting berkenaan.

"Kami akan berikan imbuhan istimewa kepada sesiapa yang dapat menyalurkan maklumat sehingga tertangkapnya suspek bertanggungjawab terhadap kegiatan mengikut Seksyen 68(1)(C) Akta Pemuliharaan Hidupan Liar 2010 dan jika sabit kesalahan boleh didenda sehingga RM100,000 hingga RM500,000 dan penjara lima tahun.

"Sehingga kini, tujuh individu iaitu empat kakitangan LPT2, dua kakitangan PERHILITAN yang menerima bangkai harimau daripada pihak lebuh raya dan pemandu yang merempuh harimau itu sudah disoal siasat," katanya ketika ditemui di pejabatnya, hari ini.

Menurutnya, pihaknya akan meneliti kamera litar tertutup (CCTV) di plaza tol di LPT2 untuk membantu siasatan kerana maklumat awal mendapati kedua-dua individu terbabit menaiki Proton Wira warna merah dan Toyota Hilux hitam.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 16 Februari 2016 @ 6:36 PM