ANGGOTA polis memeriksa bas ekspres yang terbabit nahas.
Oleh Yusmawati Mhd Yusof dan Arifin Salleh
am@hmetro.com.my

Jasin: Tindakan seorang pemandu bas ekspres mengelak daripada melanggar sebuah kereta yang melintang di lorong kiri lebuh raya bertukar tragedi apabila dia terbunuh selepas kenderaan membawa 17 penumpang itu hilang kawalan dan terbalik di Kilometer 174.1, Lebuh Raya PLUS, arah utara, di sini, petang kelmarin.

Dalam kejadian jam 6.30 petang itu, pemandu bas, Mohd Hazuan Zaharia, 35, yang parah di kepala dan badan maut manakala lima penumpang iaitu seorang lelaki dan empat wanita termasuk dua pelajar institusi pengajian tinggi awam (IPTA) berusia antara 21 hingga 47 cedera ringan.

Difahamkan ketika kejadian, Proton Saga BLM dipandu seorang wanita dari arah Johor ke Kuala Lumpur dipercayai hilang kawalan dan melanggar pembahagi jalan sebelum melintang di lorong kiri.

Keadaan itu menyebabkan bas ekspres dalam perjalanan ke Melaka Sentral cuba mengelak sebelum hilang kawalan dan terbalik.

Pemandu Proton Saga BLM berusia 40 tahun bersama penumpangnya yang berusia 34 tahun cedera ringan. Semua mangsa yang cedera dirawat sebagai pesakit luar di Hospital Melaka.

Dapatkan akhbar Harian Metro untuk berita selanjutnya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 25 November 2014 @ 5:15 AM