Pemain T-Team, Patrick D S Cruez (Kanan) cuba mengawal bola daripada dirampas pemain JDT, Marcos Antonio (kiri) dalam perlawanan di Kuala Terengganu. FOTO NSTP/ASWADI ALIAS.
Oleh Malik Muhamad


Kuala Terengganu: Juara Piala Sumbangsih Johor Darul Ta'zim (Johor DT) mengutip tiga mata penuh selepas mencatatkan kemenangan dalam aksi Liga Super apabila berjaya menundukkan Terengganu FC II ( TFC II ) 2-0 di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah Kuala Terengganu malam tadi.

Bagaimanapun, TFC II menguasai babak awal perlawanan di hadapan lebih 7,000 peminat setianya dengan dua percubaan menarik pada minit ke-5 dan ke-8 perlawanan menerusi pemain import dari Uzbekistan Dilshod Sharifudinov dan Mohd Safawi Rasid.

Pada minit ke-16 giliran penyerang import baru The Titans yang pernah beraksi bersama bintang Brazil Neymar, Patrick Dos Santos Cruz memperolehi peluang keemasan namun kuisannya dapat dibaca penjaga gol JDT Farizal Marlias.

Tersentak dengan asakan bertali arus tuan rumah skuad kendalian Mario Gomez yang merehatkan dua penyerang utama mereka Pereyra Diaz dan Juan Martin Lucero memperkemaskan asakan serta nyaris di depan menerusi tandukan cantik Marcos Antonio pada minit ke-24 perlawanan.

Usaha berterusan juara Piala Sumbangsih itu untuk memburu jaringan pendahuluaan akhirnya berhasil apabila Azamuddin Akil yang tidak dikawal bijak menolak bola terus menerjah jaring tuan rumah hasil hantaran silang Mohd Nazrin Nawi pada minit ke-27.

Selepas jaringan itu pasukan tuan rumah menukar corak kepada permainan lebih pantas dan hampir menyamakan kedudukan menerusi tendangan leret pemain tengah Makan Konate yang sedikit sipi sebelah kiri pintu gol pelawat.

Bersambung babak kedua skuad Harimau Selatan memasukkan penyerang prolifiknya Diaz dan Lucero menggantikan kapten Mohd Amri Yahaya dan Safee Sali bagi mempertajamkan jentera serangan.

Hasilnya Johor DT tidak perlu menunggu terlalu lama apabila berjaya menghasilkan jaringan kedua menerusi Diaz yang bijak menghidu peluang keemasan dengan tandukan hasil tendangan sudut Mohd Nazrin Nawi pada minit ke-58.

Skuad kendalian Rahmad Darmawan yang tidak berputus asa mencari jaringan terus mengatur gerakan dengan beberapa kali mencipta peluang menarik bagaimanapun kekentalan benteng pertahanan pelawat menggagalkan usaha memburu jaringan.

Peluang terbaik The Titans untuk merapatkan kedudukan hadir pada minit ke-68 menerusi pemain gantian Mohd Zarulizwan Mazlan yang hanya berdepan dengan penjaga gol dan sepakan penalti Konate pada minit ke -82 namun pengalaman Farizal berjaya menafikan dua percubaan menarik itu.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 17 Februari 2016 @ 12:44 AM