Oleh Aida Adilah Mat


Kuala Lumpur: Sukan berbasikal ketika ini berada dalam zon kritikal apabila hanya mengharap kepada bakat Azizulhasni Awang semata-mata.

Perkara itu perlu diakui malah terbukti apabila tiada pelumba lain yang boleh disandarkan harapan selain The Rocketpocket Man.

Bekas pelumba negara yang pernah menguasai ranking dunia dalam acara keirin, Josiah Ng berkata, masalah utama dihadapi sukan berbasikal negara adalah kegagalan melahirkan lebih ramai pelumba berbakat.

“Kita hanya ada seorang Azizul. Siapa pengganti selepas Azizul. Sama juga seperti saya satu ketika dulu. Hanya saya seorang sebelum Azizul naik.

“Tapi masalah itu masih lagi berulang. Tiada siapa yang boleh diharapkan. Sesuatu yang perlu diusahakan segera untuk mencari jalan penyelesaian,” kata Josiah.

Josiah yang ditemui ketika pelancaran ‘Fitness In My Pocket’ berkata, dia berharap masalah itu dapat diatasi kerana mahu melihat sukan berbasikal lebih berjaya di pentas antarabangsa.

Azizul dilihat mempunyai potensi untuk menghadiahkan pingat buat negara di temasya Olimpik Rio dan kini berada di prestasi terbaik apabila bergelar pelumba nombor satu dunia dalam acara keirin.

Bercakap mengenai peluang Azizul di Olimpik, Josiah berkata, Azizul mampu melakukannya.

“Dia bukan seorang dari sejuta tapi seorang daripada 30 juta kerana memiliki bakat luar biasa.

“Bagaimanapun kita tidak boleh mengharapkan Azizul seorang kerana prestasinya tidak akan selalu berada di puncak kerana ada ketikanya dia kurang menjadi.

“Jadi sekarang ini terpulang kepada kita untuk mengubahnya. Mencari lebih banyak pelumba seperti Azizul,” katanya yang turut memuji kemampuan pelumba muda negara, Shah Firdaus Sahrom kerana berpotensi menyerlah.

Sebagai rekod, Josiah, 36, pernah beraksi di Sukan Olimpik Athens (2004) dan Beijing (2008) selain menjadi pelumba simpanan Sukan Olimpik London (2012).

Josiah pelumba kelahiran Sarawak dilahirkan di Manila itu layak ke final acara keirin di Athens dan menjadi pelumba pertama Malaysia layak beraksi di pentas akhir sebelum menamatkan perlumbaan di tempat kelima.

Kejayaan itu membolehkannya menerima Anugerah Olahragawan Kebangsaan dan Olympian 2004 yang diberikan Majlis Olimpik Malaysia (MOM).

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 17 Februari 2016 @ 7:20 AM
Digital NSTP Subscribe