TSG salah satu pasukan negara berentap di LTdL.

Kuala Lumpur: Penganjur Le Tour de Langkawi (LTdL), Ciclista Sports Sdn Bhd mengharapkan pencapaian positif dicapai pelumba tempatan pada edisi ke-21 perlumbaan berprestij itu.

Cabaran Malaysia akan digalas tiga pasukan iaitu Terengganu Cycling Team (TSG), skuad kebangsaan dan NSC-Mycron.

Gandingan Anuar Manan dan Harrif Saleh mengetuai TSG selain Nur Amirul Fakhruddin Mazuki, Adiq Husainie Othman, Shahrul Mat Amin dan pelumba Singapura Goh Choon Huat.

Skuad negara pula diketuai Fauzan Ahmad Lutfi, Amir Mustafa Rusli serta Loh Sea Keong bersama tiga pelumba muda.

“Saya berharap selepas Malaysia meraih pingat emas di Sukan SEA Singapura tahun lalu bagi menamatkan kemarau sejak edisi 2005, ia dapat melonjakkan semangat pelumba tempatan.

“Saya berharap pelumba tempatan sekurang-kurangnya meraih kedudukan podium,” kata Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) LTdL Emir Abdul Jalal.

Anuar pernah melakar sejarah LTdL muncul pelumba pertama tempatan memenangi peringkat perlumbaan selain jersi Raja Pecut pada edisi 2010.

Sementara itu Emir menjelaskan segala persiapan untuk perlumbaan yang bermula minggu depan berjalan lancar.

“PKBM (Persekutuan Kebangsaan Berbasikal Malaysia) turut gembira dengan perkembangan ini walaupun bimbang pada peringkat awal susulan tempoh persediaan singkat,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 17 Februari 2016 @ 7:21 AM