BERNAMA

Kuala Lumpur: Inspektor polis dan seorang ibu tunggal hari ini mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini, atas tuduhan merompak secara berkumpulan membabitkan RM620,000 milik syarikat pengurup wang.

Inspektor M Ruben, 30, dan N N Pugunaswary, 40, ibu tiga anak membuat pengakuan itu di hadapan Hakim Shamsudin Abdullah.

Mereka bersama-sama seorang lagi yang masih bebas didakwa merompak beg mengandungi wang tunai RM620,000 milik Syarikat Spectrum Forex di Jalan Maarof, Brickfields di sini, pada 12.20 tengah hari, 10 Februari lalu.

Hakim Shamsudin membenarkan kedua-dua tertuduh diikat jamin RM10,000 dengan seorang penjamin dengan syarat mereka perlu melaporkan diri di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Klang setiap bulan dan menetapkan 19 Februari depan untuk sebutan semula kes bagi serahan dokumen.

Mahkamah turut menetapkan 25 Februari ini untuk pengurusan kes dengan perbicaraan ditetapkan pada 4 dan 10 Mac depan.

Ruben yang bertugas di IPD Klang diwakili Datuk Geethan Ram Vincent manakala peguam S S Ruban mewakili Pugunaswary, yang juga seorang penghantar wang di syarikat itu.

Timbalan Pendakwa Raya Nor Diana Nor Azwa menjalankan pendakwaan mengikut Seksyen 395 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan boleh disebat jika sabit kesalahan.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 17 Februari 2016 @ 6:18 PM