Yatt mengenali Zulfadli ketika dia menyertai misi kemanusiaan di Syria. FOTO HM
Yatt mengenali Zulfadli ketika dia menyertai misi kemanusiaan di Syria. FOTO HM
Oleh Shakilawati Abd Rahman


Kuala Lumpur: Pelakon dan pengacara Yatt Hamzah atau nama sebenarnya, Haryati Hamzah,36, mengesahkan akan berkahwin dengan jejaka pilihannya, Mohammad Zulfadli Khiruddin, 26, pada 27 Februari ini.

Pasangan ini akan dinikahkan pada jam 8 pagi di Masjid Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah, Shah Alam manakala majlis resepsi diadakan pada hari sama di Azasna Villa, Seksyen U12, Cahaya Alam, Shah Alam.

Sebelum itu, timbul desas-desus Yatt bakal berkahwin dengan juruvideo terbabit yang dikatakan menjadi punca berakhirnya perkahwinan pertamanya.

Yatt ketika dihubungi bagaimanapun menafikan perkara itu malah menegaskan Zulfadli bukan punca keruntuhan rumah tangganya sebelum ini.

“Saya mengenali dia ketika menyertai misi kemanusiaan di Syria dan saya masih bergelar isteri orang.

“Dia bukan orang ketiga seperti yang diperkatakan kerana kami hanya berkawan rapat selepas saya dan bekas suami berpisah.

“Pada Disember tahun lalu dia melamar saya dan ia bukan satu keputusan yang mudah bagi saya. Apabila mendapat jawapan selepas melakukan solat Istikharah barulah saya terima lamaran itu,” katanya.

Terdahulu, Yatt bercerai dengan bekas suaminya, Abdul Mutalib Shukor pada 25 Ogos 2015. Hasil perkahwinan itu, mereka dikurniakan seorang cahaya mata, Suci Hanania Malika, 6.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 17 Februari 2016 @ 7:18 PM