BERAHINO (kanan) tidak akan dikenakan sebarang hukuman daripada FA akibat memijak McCarthy pada pertembungan Sabtu lalu.

London: Persatuan Bolasepak (FA) Inggeris tidak mengenakan sebarang tindakan terhadap insiden membabitkan Saido Berahino dan James McCarthy.

Insiden itu berlaku pada babak pertama ketika kemenangan 1-0 West Brom ke atas Everton pada aksi Liga Perdana Sabtu lalu apabila Berahino didakwa memijak McCarthy.

Bos Everton Roberto Martinez menegaskan penyerang Albion itu patut dibuang padang apabila berkata: “Berahino jelas memijak James McCarthy.

“Saya tidak tahu apa yang berlaku. Saya fikir pengadil berada di posisi baik dan patut menyaksikannya. Ini satu daripada reaksi naif dan ia sepatutnya kad merah.”

Bagaimanapun, panel FA yang terdiri daripada tiga bekas pengadil melihat semula rakaman perlawanan dan tidak menganggap ia satu tindakan ganas jadi tiada sebarang tindakan lanjut diambil. - Agensi

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 18 Februari 2016 @ 7:10 AM