TRUMP
TRUMP
Agensi

Rancho Mirage (Amerika Syarikat): Presiden Amerika Syarikat (AS), Barack Obama kelmarin menegaskan bahawa, dia percaya ahli perniagaan terkenal, Donald Trump tidak akan dilantik ke Rumah Putih.

Obama juga mengkritik rancangan realiti yang pernah dikendalikan Trump dan sikapnya yang suka meraih perhatian media.

Selain Trump, Obama juga mengkritik kenyataan ‘mengganggu’ yang dikeluarkan bakal calon Presiden yang lain.

Namun, Trump tetap menjadi tumpuan utama Obama dengan menyatakan beberapa faktor mengapa dia berpendapat rakyat AS menolak bakal calon Presiden dari parti Republikan itu.

“Saya terus percaya Trump tidak akan menjadi Presiden dan sebabnya kerana saya menaruh kepercayaan yang besar terhadap rakyat AS.

“Saya berpendapat, rakyat AS sedar, Presiden adalah satu tugas yang serius,” kata Obama kepada wartawan di California.

“Ini bukannya menjadi hos untuk rancangan bual bicara atau program realiti televisyen. Ia bukannya satu promosi dan pemasaran. Ia satu tugas yang sukar.

“Ia bukan membuat sesuatu yang disukai dan melaku kan apa sahaja untuk menjadikan anda tajuk berita keesokan harinya.

“Kadangkala anda perlu membuat satu keputusan yang sukar walaupun orang tidak menyukainya,” tambah Obama.

Obama juga menegaskan Presiden AS perlu mampu bekerjasama dengan pemimpin dari seluruh dunia yang menunjukkan kepentingan jawatan itu.

“Pada permulaannya, rakyat terbuka dan meluahkan perasaan mereka,” jelas Obama yang merujuk gaya Trump yang terburu-buru dan keras ketika berkempen.

“Sering kali ia dilaporkan seperti hiburan tetapi semakin anda hampir, realitinya ada yang merunsingkan.

“Rakyat AS sangat bersikap wajar dan bijak. Saya berpendapat, pada akhirnya mereka akan membuat keputusan yang bijak,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 18 Februari 2016 @ 7:58 AM