PELAJAR sekolah yang kurang bernasib baik turut menerima sarapan percuma.
Oleh Rizanizam Abdul Hamid
mrizanizam@hmetro.com.my


Kuala Lumpur: “Mujurlah juga ada pihak sanggup bangun awal pagi untuk sediakan sarapan percuma kepada gelandangan di sini yang selama ini hanya menunggu waktu malam untuk mendapat makanan percuma,” kata ibu tunggal, Rubiah Meor Hanif.

Menurut ibu berusia 38 tahun itu, sejak menetap di Lorong Haji Taib, Chow Kit di sini empat tahun lalu, belum ada satu pun persatuan atau pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang tampil mengedarkan sarapan kepada gelandangan kawasan berkenaan.

“Kebanyakan NGO atau orang persendirian memilih waktu malam untuk mengedarkan makanan percuma kepada kami yang kadangkala menyebabkan ia berlebih-lebihan apabila terlalu ramai memilih waktu malam untuk membantu kami.

“Tidak sangka hari ini (semalam), ada NGO yang sanggup datang seawal jam 7 pagi untuk mengedarkan pek sarapan kepada kami sehingga jam 8.30 pagi,” katanya ketika ditemui pada program JOM BEKPES! anjuran NGO Institut Onn Ja’afar (IOJ) di KL Krash Pad, Jalan Tuanku Abdul Rahman, di sini, semalam.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) IOJ, Charles Mohan berkata, pihaknya memilih menyediakan sarapan kepada gelandangan terutama kanak-kanak kurang bernasib baik di Chow Kit selepas melihat tiada NGO yang tampil membantu mereka pada waktu berkenaan.

“Kebanyakan gelandangan di sini mendapat makanan percuma pada waktu malam daripada beberapa NGO sedangkan sarapan sebenarnya lebih penting untuk memulakan hari mereka.

“Sebab itu, bermula hari ini (semalam), kami menyediakan 200 pek sarapan percuma kepada mereka dua kali sebulan iaitu setiap hari Rabu minggu pertama dan ketiga bermula jam 7 hingga 8.30 pagi,” katanya.

Menurut Charles, pada program pertamanya semalam, IOJ bekerjasama dengan 40 sukarelawan daripada dua universiti awam dan swasta iaitu Universiti Tun Abdul Razak (UniRazak) dan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM).

“Pada program JOM BEKPES! selepas ini, IOJ akan menggerakkan sukarelawan daripada universiti lain pula yang amat menyambut baik usaha seperti ini,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 18 Februari 2016 @ 10:17 AM