Noor Hashim (tengah) menunjukkan barangan hasil kegiatan samun suspek yang ditumpaskan. FOTO Rudy Fazrunisyam Samarudin
Rudy Fazrunisyam Samarudin


Iskandar Puteri: Polis menumpaskan satu kumpulan yang aktif melakukan pecah rumah di daerah ini sejak setahun lalu dengan penangkapan empat lelaki Isnin lalu.

Ketua Polis Daerah Iskandar Puteri Superintenden Noor Hashim Mohamad berkata, suspek berusia 29 hingga 38 tahun itu dipercayai terbabit melakukan sekurang-kurangnya 12 kes pecah rumah di sekitar Kangkar Pulai sejak tahun lalu.

Katanya, mereka ditahan hasil serbuan di beberapa lokasi sekitar kawasan perumahan Kangkar Pulai antara jam 4 petang hingga 10 malam 15 Februari lalu.

"Tangkapan adalah susulan siasatan kes pecah rumah yang dilaporkan pada 14 Februari di Taman Pulai Indah sekembalinya mangsa dari Kedah sempena Tahun Baru Cina.

"Tangkapan ke atas suspek terbabit menemui beberapa barang seperti telefon bimbit, dua botol minuman keras, dua jam tangan dan komputer riba seperti yang dilaporkan hilang oleh pengadu," katanya.

Semua suspek direman tujuh hari sehingga22 Februari ini bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 457 Kanun Keseksaan.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 18 Februari 2016 @ 11:49 AM