Kenyataan media LPPPQ
Hayati Ibrahim


Putrajaya: Lembaga Pengawalan dan Pelesenan Pencetakan al-Quran (LPPPQ) mengesan penjualan naskah al-Quran yang diimport tanpa mendapat kelulusan LPPPQ, iaitu mashaf 'al-Quran AlWasim' dan mashaf 'al-Quran Al Mumayyaz.

Pengerusi LPPPQ Tan Sri Dr Harusssani Zakaria berkata, al-Quran berkenaan dikesan dijual secara meluas secara dalam talian (online).

"Kedua-dua naskah berkenaan didapati mengandungi dua kesalahan iaitu menggunakan rasmi Imla'i dan tulisan rumi dalam penulisan ayat al-Quran.

"Lembaga sebelum ini sudah menetapkan dasar penggunaan rasm Imla'i adalah tidak dibenarkan, sebaliknya hanya rasm Uthmani sahaja dibenarkan penggunaannya dalam penulisan al-Quran di negara ini.

"Sementara penggunaan tulisan rumi dalam penulisan ayat al-Quran juga tidak dibenarkan selaras dengan keputusan muzakarah Jawatankuasa Majlis Fatwa Kebangsaan bagi Hal Ehwal Islam kali ke-24 yang bersidang pada 5 dan 6 Jun 1989 yang memutuskan adalah haram ditulis atau digunakan mana-mana bahagian daripada al-Quran dengan tulisan yang bukan huruf Arab atau bukan sistem tulisan al-Quran',"katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

Harusssani berkata, bagi memastikan teks al-Quran yang dibaca adalah tepat dan tidak mengandungi kesalahan, masyarakat dinasihatkan supaya berhati-hati ketika membeli atau mendapatkannya dengan memastikan naskhah berkenaan sudah diperakui oleh LPPPQ.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 18 Februari 2016 @ 6:24 PM