KELUARGA Amin melayan Muhammad Adam bagai keluarga sendiri.
KELUARGA Amin melayan Muhammad Adam bagai keluarga sendiri.
MENGISI masa lapang dengan membaca dan memahami maksud al-Quran.
MENGISI masa lapang dengan membaca dan memahami maksud al-Quran.
KEHADIRAN Muhammad Adam diterima baik oleh keluarga Amin.
KEHADIRAN Muhammad Adam diterima baik oleh keluarga Amin.
Teks dan gambar Rodly Fadly


Baik Muhammad Adam, Nur Alya Humaira atau Jay Haikal, masing-masing mempunyai sejarah hitam tersendiri. Namun, siapa sangka mereka bukan sahaja berubah menjadi insan yang baik, malah diberi hidayah untuk memeluk Islam dan kini aktif berdakwah terutama kepada golongan saudara baru.

Diari hidupnya penuh dengan catatan kisah hitam hingga tiada siapa termasuk ahli keluarga yakin dia bakal berubah pada suatu hari nanti.

Tapi, hari ini lelaki yang lahir dengan nama Ambrose itu bukan saja sudah kembali ke pangkal jalan, malah menemui hidayah dan memeluk Islam dengan nama Muhammad Adam Abdullah.

Lebih menarik, dia kini diberi kepercayaan sebagai siak di sebuah surau di Sungai Buloh, Selangor sesuatu yang tidak pernah terlintas di fikirannya sebelum ini.

“Siapa sangka saya kini menjadi siak. Begitu tinggi sekali Allah angkat martabat padahal sebelum ini saya banyak melakukan dosa.

“Inilah kekuasaan Allah. Dia mampu mengubah hidup manusia dalam sekelip mata. Apa yang saya lalui ini buktinya. Bukan niat saya untuk berbangga kerana dilantik menjadi siak tapi hanya untuk menyatakan memang terbukti Allah itu Maha Besar, Maha Pengampun, Maha Pengasih dan Penyayang.

“Saya bersyukur kerana Allah bukan saja beri hidayah, malah sejak bergelar Muslim, hidup saya banyak berubah. Walaupun kini tidak semewah dulu, saya sangat tenang,” kata Adam yang mengucap dua kalimah syahadah pada Februari tahun lalu.

Dia menceritakan sejarah hidupnya itu dalam dalam slot Perkongsian Saudara Baru pada majlis Di Ambang Maulidur Rasul di Masjid Al-Faizin, Kepong, Kuala Lumpur, baru-baru ini.

Menyingkap kisah silamnya, Adam, 43, mengakui dia memang dikategorikan sebagai anak bermasalah sejak zaman remaja apabila mula terbabit pelbagai kegiatan kurang sihat.

“Ketika usia 15 tahun saya dihantar ke pemulihan akhlak. Beberapa tahun di sekolah pemulihan itu tidak menginsafkan saya, sebaliknya apabila keluar, saya kembali aktif.

“Penjara pula seolah-olah sudah menjadi rumah kedua saya,” katanya.

Akhirnya kerana bersimpati dengan ibu bapa, isteri dan anak yang sentiasa berharap dia kembali ke pangkal jalan, Adam bertekad untuk berubah.

“Lang­kah pertama saya ialah menyertai sekolah khas agama anutan saya ketika itu. Ia berjaya merubah saya menjadi insan yang taat kepada perintah agama.

“Walaupun sudah berubah ‘360 darjah’, jiwa saya tidak pernah tenang seolah-olah ada sesuatu yang kurang lengkap dalam hidup.

“Saya selalu berfikir kenapa semua ini terjadi padahal saya sudah insaf, meninggalkan semua kejahatan dan sentiasa mendekatkan diri dengan Tuhan.

“Bagi mencari jawapan, saya cuba mengkaji agama lain termasuk Islam. Makin banyak saya mengkaji Islam, saya makin jatuh cinta dengan agama ini kerana mendapati Islam itu agama yang paling sempurna.

“Namun, bukan mudah untuk saya mempengaruhi keluarga mengenai keyakinan baru ini kerana mereka memang berpegang kuat kepada kepercayaan agama saya terdahulu. Jadi, pada awalnya saya pendamkan saja niat untuk memeluk Islam.

“Bagaimanapun, pada awal 2015, saya tidak dapat lagi membendung keinginan itu. Akhirnya pada 13 Februari 2015, saya mengucap syahadah dan secara rasmi bergelar Muslim,” kata Adam.

Katanya, selepas memeluk Islam, dia terpaksa melakukan pengorbanan paling besar iaitu meninggalkan keluarga yang tidak merestui tindakannya malah terpaksa menurut kehendak isterinya yang meminta cerai.

“Saya memang sayangkan isteri dan dua anak perempuan saya. Tapi, saya lebih sayangkan Islam, inilah pengorbanan yang terpaksa saya lakukan,” katanya.

Adam berkata, pada peringkat awal bergelar saudara baru dia melalui pelbagai ujian.

“Segelintir orang Islam memandang sinis apabila saya meminta bantuan. Mereka menuduh saya sengaja memperalatkan Islam untuk mencari kesenangan. Saya jawab kalau saya mahukan kemewahan, saya tidak perlu memeluk Islam, sebaliknya kekal dengan agama asal kerana keluarga saya boleh membantu bila-bila masa.

“Ada juga yang mempergunakan saya untuk mendapat bantuan kewangan daripada jabatan tertentu yang membantu mualaf dan akhirnya duit bantuan itu semuanya masuk ke kocek­nya.

“Akhirnya, saya hidup sebagai gelandangan, mencari sisa makanan dalam tong sampah untuk mengisi perut dan tidur di mana-mana saja yang sempat.

“Ketika itu iman saya benar-benar diuji hingga terlintas di fikiran untuk kembali ke pangkuan keluarga. Tapi, pada saat kritikal itu, Allah membantu saya apabila dipertemukan dengan Haji Amin (Mohd Amin Sabri).

“Rupa-rupanya bukan semua orang Islam memandang hina atau mengambil kesempatan ke atas golo­ngan mualaf seperti saya. Masih ada insan berhati mulia seperti Mohd Amin yang sanggup menjadikan saya sebagai anak angkat walaupun saya ceritakan kisah lampau kepadanya,” katanya.

Perkenalan Adam dengan Amin berlaku pada hari kedua sambutan Aidilfitri lalu. Selepas sebulan menumpang di Masjid Jamek Jamiul Ehsan, Kampung Kubu Gajah, Sungai Buloh, nazir masjid berkenaan, Md Noor membawa Adam untuk tinggal di Surau Nurul Huda.

“Surau itu betul-betul di depan rumah Mohd Amin dan beliau mempelawa saya beraya di rumahnya. Sambil makan beliau bertanyakan latar belakang dan saya pula menceritakan segala-galanya tanpa berselindung.

“Sebaik selesai mendengar cerita saya, beliau terus mengatakan mahu menjadikan saya anak angkatnya. Menitis air mata saya mendengarnya, tak sangka masih ada insan mahu menerima saya sebagai ahli keluarga.

“Walaupun tinggal di surau, segala makan minum saya ditanggung Mohd Amin yang saya panggil abah. Bukan itu saja, beliau juga sanggup mengeluarkan wang RM4,500 membeli motosikal untuk memudahkan saya ke kelas agama,” kata Adam.

Sejak tinggal di Surau Nurul Huda, Adam melakukan tugas membersih rumah ibadat itu dan kawasan sekitarnya hingga jawatankuasa surau melantiknya sebagai siak.

Selain itu, Adam kerap diundang jabatan agama dan badan dakwah di sekitar Selangor untuk berkongsi pengalamannya sebagai saudara baru.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 19 Februari 2016 @ 8:19 AM
Digital NSTP Subscribe