PEMAIN dan pengurusan Puteri Jaya Kids Soccer merakam kenangan.
Oleh Mohd Sharumnisham Shahbudin

Sungai Petani: Biarpun baru saja ditubuhkan September lalu, kelab bola sepak Puteri Jaya Kids Soccer (PJKS) sudah melakar beberapa kejayaan sama ada di peringkat daerah Kuala Muda mahupun peringkat negeri.

Antara kejayaan dikecapi termasuk naib juara pertandingan B-12 Piala Pegawai Daerah Kuala Muda, juara Piala Sharifah Anisah 2015 B-15 dan tempat ketiga kejo
hanan program pembangunan bola sepak negara NFC peringkat negeri Kedah B-9.

Selain itu, pemain cilik berkenaan turut mewakili SK Bandar Puteri Jaya pada kejohanan Majlis Sukan Sekolah Daerah (MSSD) Kuala Muda Yan B-10 dan membuat kejutan apabila muncul juara pada penampilan sulung mereka.

Pengurus PJKS Azam Fansuri Aziz berkata, objektif utama penubuhan kelab itu adalah mencungkil bakat di peringkat sekolah rendah dan membimbing mereka dengan asas permainan.

“Hingga kini, kami mempunyai 157 peserta dan kebanyakannya adalah murid SK Bandar Puteri Jaya dan selebihnya murid sekolah lain yang tinggal berhampiran.

“PJKS turut dibantu jurulatih dari Angkatan Tentera Malaysia (ATM) seperti Badrulzaman Hashim dan Firdaus Abd Rahim dari 19 Rejimen Askar Melayu Diraja (RAMD) Kem Lapangan Terbang.

“Kami juga dibantu guru dari SK Bandar Puteri Jaya dan SMK Pekula Jaya,” katanya.

Azam berkata demikian ketika ditemui pada majlis perasmian kelab terbabit oleh pemain bola sepak Kedah Syazwan Tajuddin dan Alif Fadhil Ismail di SK Bandar Puteri Jaya, di sini, baru-baru ini.

Turut hadir Guru Besar SK Bandar Puteri Jaya Sharifah Anisah Syed Zainol Abidin yang juga Penasihat PJKS.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 19 Februari 2016 @ 9:22 AM