ANGGOTA Bomba dan Penyelamat berusaha mengeluarkan mangsa yang tersepit. FOTO Muhammad Hatim Ab Manan
ANGGOTA Bomba dan Penyelamat berusaha mengeluarkan mangsa yang tersepit. FOTO Muhammad Hatim Ab Manan
Nur Saliawati Salberi


Jasin: Tiga maut manakala sembilan lain cedera termasuk seorang parah dalam kemalangan empat kenderaan di Kilometer 176.4 Lebuhraya Utara Selatan (PLUS) arah selatan berhampiran Plaza Tol Lipat Kajang, di sini, petang tadi.

Dalam kejadian 4.45 petang itu, pemandu treler Muhammad Saiful Om, 31, serta dua penumpang Toyota Camry masing-masing Mohd Nizam Abdul Rahim, 48, dan Halid Haron, 48, maut ditempat kejadian.

Jurucakap polis berkata, kemalangan dipercayai berlaku apabila treler dipandu Muhammad Saiful yang dalam perjalanan dari Johor Bahru menuju ke Kuala Lumpur hilang kawalan dan terbabas masuk ke laluan bertentangan.

"Ketika kejadian Toyota Camry yang dinaiki empat lelaki bersama dua kenderaan masing-masing Perodua Myvi dan lori kontena yang datang dari arah Kuala Lumpur menghala Johor Bharu yang kebetulan melalui lokasi kejadian dipercayai gagal mengelak dan berlaku perlanggaran.

"Siasatan awal mendapati ketika kejadian keadaan cuaca hujan.

“Mayat mangsa kemudian dibawa ke Jabatan Forensik Hospital Jasin dan mereka yang cedera dirawat di Hospital Tangkak," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 19 Februari 2016 @ 9:05 PM