Oleh Sri Ayu Kartika Amri

Kuala Lumpur: Projek hartanah dalam pembangunan Greater Kuala Lumpur atau Lembah Klang (Greater KL) adalah komponen penting dalam Pelan Transformasi Ekonomi negara.

Agenda Greater KL yang utama ialah untuk membangunkan sebuah bandar mapan yang sesuai didiami dengan infrastruktur berkualiti tinggi, kawasan pembangunan hijau dan perumahan dalam bandar.

Pembinaan rumah mampu milik juga tidak ketinggalan, turut menjadi fokus utama dalam pembangunan Greater KL terutama di kawasan yang sesuai.

Pengurus Pembangunan Perniagaan dan Penceramah Hartanah Rescom Realty, Abdul Aziz Ahmad berkata, pemilihan lokasi memainkan peranan penting sebelum memiliki hartanah terutama di kawasan Greater KL.

Katanya, Greater KL tidak terkecuali menjadi kawasan tumpuan lokasi ‘hangat’ pemain hartanah dan sejak dua tahun lalu kebanyakan pemaju fokus kepada produk hartanah berharga premium.

“Mungkin ramai yang beranggapan agak sukar memiliki kediaman mampu milik di kawasan Greater KL, namun sebenarnya projek mega di Greater KL turut memperuntukkan pembangunan rumah mampu milik.

“Kawasan Greater KL dijangka menawarkan potensi baik kepada bakal pembeli terutama di kawasan selatan Kuala Lumpur hingga ke Negeri Sembilan selain kawasan di sepanjang laluan baru untuk Mass Rapid Transit (MRT) dan Transit Aliran Ringan (LRT),” katanya.

Menurutnya, kawasan terbabit terutama di sepanjang laluan MRT dan LRT akan dipenuhi dengan pelaksanaan projek pembangunan hartanah terutama rumah mampu milik pada masa depan, namun mereka tetap perlu melihat pelbagai perkara sebelum membeli rumah.

Abdul Aziz berkata, kerajaan turut memperuntukkan 5,000 unit Perumahan Rakyat 1Malaysia (PR1MA) dan Perumahan Penjawat Awam 1Malaysia (PPA1M) di 10 lokasi sekitar LRT dan stesen monorel termasuk di Pandan Jaya, Sentul dan Titiwangsa.

Beliau berkata, selain itu Kwasa Land yang dimiliki oleh Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) akan membina 800 unit rumah mampu milik dan Sime Darby Property pula sebanyak 4,600 unit di kawasan sekitar stesen MRT di Bandar Kwasa Damansara menjadikan jumlah keseluruhan, 5,400 unit.

“Jika sejak dua tahun lalu kebanyakan pemaju memfokus kepada produk hartanah berharga premium, namun tahun ini pemaju lebih menumpukan membina rumah mampu milik.

“Sebagai contoh Rumah Selangorku, antara 20 hingga 30 peratus diperuntukkan untuk pembinaan rumah mampu milik. Malah, selain Greater KL, rumah mampu milik dijangka dibina di seluruh negara,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 20 Februari 2016 @ 5:05 AM