Miri: Sekurang-kurangnya 80 hektar hutan belukar di Kuala Baram, di sini, terbakar, sejak kira-kira 3 petang semalam.

Kebakaran mengakibatkan kepulan asap boleh dilihat sejauh 24 kilometer sehingga ke bandar raya Miri.

Ketua Jabatan Bomba dan Penyelamat Zon Miri, Law Poh Kiong, berkata pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 3 petang berhubung kejadian itu.

Menurutnya, sepasukan anggota bomba dari Balai Bomba dan Penyelamat Lopeng dikerahkan ke lokasi dibantu dengan kakitangan syarikat milik tanah itu.

Bomba turut menggunakan bantuan unit udara bomba untuk memadamkan kebakaran itu.

"Api dipadam pagi tadi, cuma masih mengeluarkan asap," katanya.

Sehingga ini, katanya, bomba masih lagi berusaha untuk memadamkan kebakaran itu sepenuhnya.

"Punca kebakaran dipercayai akibat cuaca panas selain angin yang kuat," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 20 Februari 2016 @ 6:08 PM