Oleh Ustaz Haslin Baharin

Sekiranya kita menemui bahagian anggota tubuh badan yang bercerai daripada tubuh utama akibat hilang atau dimakan binatang buas manakala identiti serta agama ceraian tubuh itu tidak diketahui, patutkah ia diuruskan secara Islam?

WAHAB, Kuantan

Anggota badan manusia, sama ada keseluruhan atau cuma cebisan daripada tubuh masih hidup atau mati, Muslim atau kafir hendaklah dimuliakan.

Sebagaimana firman Allah SWT bermaksud; “Dan sesungguhnya Kami memuliakan anak-anak Adam; dan Kami beri mereka kegunaan pelbagai kenderaan di darat dan laut; dan Kami memberikan rezeki kepada mereka daripada benda-benda yang baik serta Kami lebihkan mereka dengan selebih-lebihnya dalam banyak-banyak makhluk yang Kami ciptakan.” (Surah al-Isra’: 70)

Bagi menguruskan cebisan daripada manusia sama ada Islam atau kafir mahupun tidak diketahui statusnya, hendaklah ditanam hingga tidak mengganggu kehidupan yang berada di atas bumi.

Walaupun menanamnya tidak wajib, ia adalah sebentuk kemuliaan bagi manusia. Dalam sejarah Rasulullah SAW menanam mayat tentera musyrikin dalam peperangan Badar di sebuah perigi yang tidak digunakan di pinggir Madinah.

Oleh itu, seharusnya juga dilakukan terhadap cebisan tubuh yang terpisah daripada anggota manusia sama ada dibasuh dan ditanam tanpa dimandikan atau dikafankan dan tidak juga disolatkan.

Wallahulalam.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 21 Februari 2016 @ 1:04 AM