Satu ketika dulu buyung, labu dan belanga antara perkakasan penting di ruang dapur.

Biarpun kini ada pengguna dan organisasi persendirian terutamanya restoran mengekalkan penggunaan perkakasan tradisi ini, terdapat juga alternatif lain.

Penggunaan porselin yang lebih halus dan teknik gerlis umpamanya dapat melonjakkan taraf perkakasan ini pada kedudukan tersendiri.

Kehalusan seni budaya dan motif tempatan dikekalkan demi melestarikan seni warisan supaya kekal diminda dan kehidupan peminat hiasan seramik ini.

Apabila memperkatakan seramik, pastinya tergambar pasu, periuk atau labu.

Pada hal seramik digunakan secara meluas di dalam industri mekanikal lantaran sifat ketahanan terhadap haba, tidak berkarat, lebih ringan berbanding logam.

Paling utama ketahanan geseran terutama bahan silicon nitride.

Bagaimanapun, dalam segmen hiasan bukan saja seramik dijadikan hiasan rumah, malah ia sesuai sebagai perhiasan diri.

Perluasan segmen penggunaan seperti inilah yang memajukan industri hiasan seramik.

Set hidangan minuman, pasu bunga, bingkai gambar, pelindung suis antara yang menjadi gaya hiasan masa kini.

Terbaru konsep kubisme dengan tema warna pop art membuatkan seramik yang dihasilkan untuk set teko minuman lebih ceria dan mampu membangkitkan selera ketika menikmati teh atau kopi.

Konsep yang sama juga dicipta untuk pasu hiasan supaya tampil dengan wajah baru lebih kontemporari.

Hiasan di luar rumah menggunakan bahan seramik juga tidak kurang hebatnya.

Produk seperti arca, pasu, labu dan buyung berbagai bentuk dan bersaiz luar biasa dengan motif serta teknik kemasan yang lebih menerapkan nilai komersial ternyata memukau pandangan.

Bagi memiliki landskap idaman yang cantik dan menepati citarasa, beberapa faktor penting perlu diambil kira antaranya pemilihan konsep, produk yang sesuai serta mempunyai pengetahuan secukupnya Maklumat lanjut di www.kraftangan.gov.my.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 12 Oktober 2014 @ 2:08 AM