PESERTA bersama sijil membuktikan mereka berjaya menakluki 1,000 Corners.
MELAWAT tempat bersejarah di Thailand.
BERGAMBAR di Segi Tiga Emas, Thailand.
MENIKMATI pemandangan ketika perjalanan ke puncak Doi Ithanon.
Oleh Ahmad Gorden Omar


Sekumpulan penunggang motosikal Keeway dan Benelli menuju ke laluan impian bagi setiap ‘bikers’ Malaysia di Mae Hong Son, Thailand yang dikenali sebagai 1,000 corners (1,000 selekoh).

Dikenali sebagai kumpulan Riders Ex-Thai, mereka adalah Paul Koh yang menunggang (Keeway TX200G); Saiful Bahri Saharuddin dan isteri, Rozlin Aziz (Keeway RKV200G); Tan Lok Chuang (Keeway RKV200G); Dzahir Dolah (Keeway RKV200G); Mohd Noorkeeflee Maon (Benelli Tnt600); Abdul Karim Saat (Benelli Tnt600); Feuzi Salim dan isteri Siti Zahleha Ahmed (Keeway RKV200G) dan Ahmad Gorden Omar serta isteri Zarina Buyong (Keeway TX200G).

Tepat jam 12.15 tengah malam pada 18 Disember lalu, rombongan membabitkan 11 orang dengan lapan motosikal Keeway dan Benelli bertolak dari Rawang menuju ke sempadan Thailand-Malaysia di Bukit Kayu Hitam seterusnya ke Hatyai.

Perjalanan fasa pertama dari Kuala Lumpur ke Hatyai, Thailand dilalui tanpa masaalah. Keesokannya, mereka bergerak menuju Chiang Mai yang terletak kira-kira 760 kilometer (km) di utara Bangkok.

Dalam perjalanan menuju ke Chiang Mai, sebuah motosikal mengalami kerosakan, namun masalah diatasi dengan bantuan pihak Benelli dan Keeway yang berpangkalan di Bangkok sebelum meneruskan tunggangan ke bandar Tak untuk bermalam.

Paul selaku perancang utama konvoi kembara berkata, di bandar Tak, mereka membuat keputusan untuk tidak terus ke Chiang Mai sebaliknya menuju ke Gunung Doi Ithanon yang terletak di Chom Thong.

Pada 20 Disember 2015, konvoi meneruskan perjalanan ke Doi Ithanon, titik tertinggi di Thailand dengan ketinggian 2,565 meter dari aras laut dengan melalui jalan curam dan banyak selekoh serta ditambah bahagian laluan yang dinaik taraf sekali gus memberi cabaran kepada peserta.

“Meskipun berdepan suhu sejuk 11 darjah Celsius, peserta konvoi teruja melayan setiap selekoh yang menguji kecekapan masing-masing di samping menikmati pemandangan indah ketika tiba di puncak.

“Selepas kira-kira sejam di puncak Doi Ithanon, peserta meneruskan perjalanan ke bandar Chiang Mai sejauh 90km yang menjadi destinasi malam ketiga untuk berehat,” katanya.

Keesokannya, konvoi memulakan perjalanan seawal jam 6 pagi menuju ke Pai iaitu sebuah pekan mirip Bukit Fraser di Malaysia. Namun cabarannya berbeza apabila terpaksa melalui jalan tanah merah berbatu yang teruk kerana sedang dinaik taraf.

Menurutnya, konvoi berada dua malam di Pai dan kesempatan itu digunakan dengan berkongsi pengalaman bersama ramai penunggang lain termasuk dari Malaysia bagaimana melayan jalan 1,000 selekoh itu.

“Peserta juga mengambil kesempatan singgah di telaga air panas sebelum bergerak ke Mae Hong Son yang terletak 150km dari Pai dan kami sekali lagi menempuhi laluan mencabar kerana dinaik taraf.

“Bagi penunggang motosikal yang ke sini mereka wajib ke ‘Chamber of Commerce’ di Mae Hong Son untuk menerima sijil bagi membuktikan masing-masing berjaya menakluki 1,000 selekoh,” katanya.

Selepas makan tengah hari di sebelah masjid Mae Hong Son, konvoi menuju ke perkampungan puak Karen atau lebih dikenali sebagai kaum leher panjang sambil mengambil peluang bergambar bersama penghuni sebelum bertolak balik ke Pai.

Di Pai, ada satu perkembangan yang menarik. Sepatutnya kembara tamat di situ sebelum memulakan perjalanan pulang ke tanah air pada esoknya.

Bagaimanapun, selepas berbincang dengan peserta lain, mereka membuat keputusan menuju ke Segi Tiga Emas yang terletak di Mae Sai, kira-kira 370km dari Pai.

Walaupun rancangan baru, mereka membuat persiapan rapi terutama merancang laluan yang akan digunakan iaitu Route 109 menuju ke Chiang Rai.

Laluan itu sekali lagi disajikan dengan jalan berliku tetapi keadaan lebih baik sehingga membuatkan semua penunggang puas.

Pada pagi esoknya, seawal jam 6 pagi, peserta memulakan perjalanan menuju ke Phitsnulok iaitu titik berhenti dalam laluan pulang ke tanah air dengan menunggang sejauh 490km.

Peserta meneruskan perjalanan pulang mereka menuju ke kota bersejarah Ayuthaya dan seterusnya ke Bangkok untuk ke Hatyai sebelum tiba di Danok.

Paul berkata, konvoi selama dua minggu itu memberi pelbagai kenangan pahit dan manis, selain bersyukur kerana tidak terbabit dengan kemalangan.

Sisipan Vroom mengambil kesempatan ini untuk mengucapkan takziah kepada seluruh keluarga penulis, Ahmad Gorden Omar yang meninggal dunia akibat serangan jantung pada 15 Februari lalu. Al-Fatihah)

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 21 Februari 2016 @ 5:01 AM